Wanita sarat hamil ditahan bersama suami seludup ganja

Rodzi (kanan) menunjukkan bahagian tempat duduk penumpang sebuah kenderaan 'pick up' yang diubah suai bagi menyeludup dadah di kawasan ICQS Bukit Kayu Hitam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Rabu. Foto Bernama
Rodzi (kanan) menunjukkan bahagian tempat duduk penumpang sebuah kenderaan 'pick up' yang diubah suai bagi menyeludup dadah di kawasan ICQS Bukit Kayu Hitam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Wanita sarat hamil sembilan bulan dan suaminya ditahan bersama 10,277 gram (g) ganja di dalam kenderaan dinaiki, ketika disyaki cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pasangan berumur 34 dan 35 tahun berasal dari Perlis itu ditahan kira-kira pukul 11.50 malam oleh sepasukan anggota yang sedang membuat rondaan dan kawalan di kawasan berkenaan.

"Kita menjalankan pemeriksaan pada trak pikap (Toyota Hilux) dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan sebelum menemukan 10 balutan plastik lutsinar yang di dalamnya berisi dadah disyaki ganja disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang seberat 10,277g.

"Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari seberang (Thailand) untuk pasaran sebelah utara termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan jika terlepas ia boleh digunakan sebanyak 3,200 penagih,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Rodzi berkata, berdasarkan siasatan, suspek didapati sering keluar masuk ke Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam untuk menjalankan kegiatan terbabit dan melakukannya pada waktu malam.

"Siasatan juga menjurus kepada penglibatan mereka sama ada mempunyai rangkaian sindiket atau tidak... berapa lama mereka melakukannya, masih dalam siasatan,” katanya.

Rodzi (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas seberat 0.276 gram bernilai RM32,000. Foto Bernama
Rodzi (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas seberat 0.276 gram bernilai RM32,000. Foto Bernama

Beliau berkata ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif ganja dan pasangan itu direman hingga 14 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Suaminya berumur 34 tahun juga memiliki lapan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ibu hamil itu memiliki tiga rekod atas kesalahan sama,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menahan seorang pemandu lori berumur 29 tahun serta merampas 10,105 g ganja di Jalan Sujana Lunas, Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, dadah bernilai RM31,325 ditemukan di dalam kereta dinaiki suspek selepas pemeriksaan kira-kira pukul 5.20 petang pada Ahad lepas.

Beliau berkata, polis menjumpai 10 ketulan mampat dibalut plastik yang di dalamnya mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja.

"Suspek yang memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau direman hingga 14 Januari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan mengedar dadah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. - Bernama