Banjir: Trak ATM diguna bawa 36 calon SPM ke SMK Tun Habab


Trak ATM digunakan untuk membawa calon SPM yang terkandas akibat banjir ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.
Trak ATM digunakan untuk membawa calon SPM yang terkandas akibat banjir ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai 36 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari daerah ini yang terkandas akibat banjir dibawa ke sekolah dengan menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu pada Isnin.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, calon terlibat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab.

"Pagi tadi (Isnin), terdapat pergerakan kenderaan tentera dari Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) telah bergerak mengambil calon SPM untuk dihantar ke SMK Tun Habab.


Calon SPM menaiki kenderaan yang disediakan ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab.
Calon SPM menaiki kenderaan yang disediakan ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab.

"Terdapat dua 'checkpoint' pengambilan pelajar tadi, pertama di parkir Econsave Taman Daiman Jaya (12 pelajar) dan di parkir Masjid Jamek Kota Tinggi (24 pelajar).

"Selain itu terdapat seorang pelajar serta dua orang pengawas peperiksaan turut dihantar ke SMK Bandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Norlizah berkata, seramai 207 calon SPM menghadiri ujian bertutur Bahasa Melayu di kedua-dua buah sekolah tersebut.

Artikel Berkaitan:


Calon SPM yang terkandas akibat banjir dihantar ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab menaiki trak ATM.
Calon SPM yang terkandas akibat banjir dihantar ke pusat peperiksaan di SMK Tun Habab menaiki trak ATM.

Secara keseluruhan seramai 48,276 pelajar dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di negeri Johor.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17 hingga 23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu (29 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).