'Saya, isteri dan anak-anak nekad terjun laut, selamatkan diri'

PASIR GUDANG - "Saya, isteri dan anak-anak terjun ke dalam laut kerana api cukup marak ketika itu,"
Demikian kata Kuik Toh, 43, yang menyelamatkan diri bersama-sama isteri, Semah Jumaat, 52, dan dua anaknya semasa 30 rumah atas air yang juga penempatan Orang Asli di Kampung Teluk Jawa, di sini terbakar pada pagi Khamis.
Menurut Kuik, kebakaran pada jam 7.05 pagi itu hanya disedari selepas mendengar jeritan jiran.
"Saya terjaga dari tidur apabila terdengar budak menjerit rumah terbakar. Saya lihat api sudah merebak sebelum melarikan diri. Barang semua tak sempat ambil.
"Disebabkan sukar untuk melarikan diri ikut jalan darat (bahagian depan rumah) kerana api sudah marak, kami terjun ke dalam air," katanya yang bekerja sebagai nelayan.
Bapa kepada tiga anak itu berharap akan ada pihak yang membantu mereka terutama membina rumah baharu apatah lagi menjelang Ramadan beberapa hari lagi.
Seorang lagi mangsa, Nur Aisyah Abdullah, 36, berkata, semasa kejadian dia keluar menghantar anaknya ke sekolah sebelum pulang dan mendapati rumah yang baru diduduki keluarganya bulan lalu dijilat api.
"Rumah yang terbakar baru saya duduki sebulan lalu. Kami berpindah selepas tapak rumah lama kami yang tidak jauh dari rumah baharu kami diambil pemaju sebelum dibayar pampasan RM50,000.
"Bukan sahaja rumah tapi kami juga baru beli perabot termasuk mesin basuh, televisyen dan kelengkapan rumah lain termasuk persiapan untuk sambut puasa. Semuanya musnah terbakar," ujarnya.
Ibu kepada tiga anak itu mendakwa, kerugian dianggarkan lebih RM70,000 termasuk melibatkan dua buah bot yang digunakan dia dan suami untuk mencari rezeki sebagai nelayan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara telah dibuka di Dewan Muafakat Taman Megah Ria pada jam 1 tengah hari.
Jelasnya, jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan tersebut seramai 117 orang daripada 30 keluarga.
Ringkasan AI
- Kuik Toh dan keluarga terjun ke laut untuk selamat dari kebakaran di Kampung Teluk Jawa
- Kebakaran disedari setelah mendengar jeritan jiran pada jam 7.05 pagi
- Sukar untuk melarikan diri ikut jalan darat menyebabkan terjun ke dalam air
- Nur Aisyah Abdullah mengalami kerugian lebih RM70,000 termasuk dua buah bot
- Pusat pemindahan sementara dibuka untuk 117 orang daripada 30 keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

