Trak tentera bantu calon SPM terkandas banjir di Kota Tinggi

Trak ATM digunakan membantu calon SPM di Kota Tinggi yang terjejas banjir.
Trak ATM digunakan membantu calon SPM di Kota Tinggi yang terjejas banjir.
A
A
A

KOTA TINGGI - Trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap sedia membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini ke pusat peperiksaan bagi menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu sehingga, Khamis ini.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, keadaan jalan yang dinaiki air terutama di kawasan bandar menjejaskan pergerakan calon SPM ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab dan SMK Bandar.

"Peperiksaan bertutur Bahasa Melayu selama empat hari bermula Isnin berjalan lancar di daerah ini, meskipun terdapat calon yang terpaksa menaiki trak ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab dan SMK Bandar.

"ATM bersedia dalam tempoh empat hari ujian dilaksanakan, membantu calon SPM yang terkandas ke pusat peperiksaan ekoran banjir yang berlaku," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sekitar bandar KoTa Tinggi yang dilanda banjir pada Selasa.

Norlizah
Norlizah

Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama memaklumkan terdapat dua buah sekolah yang ditutup di Kota Tinggi kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Secara keseluruhan seramai 48,276 pelajar dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di negeri Johor.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17 hingga 23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu (29 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Norlizah berkata, dua buah sekolah tersebut Sekolah Kebangsaan ( SK) Kota Jaya dan SK Dato Usman Awang.

"Sesi pembelajaran dijalankan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Keadaan setakat ini terkawal," ujarnya.