Lebih 1,200 murid akan terima PSP

Abdul Aziz beramah mesra dengan murid-murid yang memulakan sesi persekolahan 2020 di Sekolah Rendah Islam Pintar di Kampung Kepayang, Simpang Pulai hari ini.
Abdul Aziz beramah mesra dengan murid-murid yang memulakan sesi persekolahan 2020 di Sekolah Rendah Islam Pintar di Kampung Kepayang, Simpang Pulai hari ini.
A
A
A

IPOH - Seramai 1,292 murid di Perak akan menerima manfaat daripada perlaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bermula 20 Januari ini.

Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jumlah itu melibatkan tujuh sekolah di tujuh daerah bagi fasa pertama.

Menurutnya, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjung di daerah Kinta Utara, SK Jernang (Batang Padang dan Muallim), SK Pos Dipang (Kinta Selatan) dan SK Suak Padi di Perak Tengah.

Turut terpilih ialah SK Sungai Tiang di Hulu Perak, SK Datin Khadijah (Kuala Kangsar) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ayer Tawar di Manjung.

"Bagaimanapun, penambahan bilangan pelajar dan sekolah yang menerima PSP akan dilakukan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama persekolahan di Sekolah Rendah dan Tadika Islam Pintar di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Aziz berkata, seramai 37,888 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah memulakan sesi hari pertama persekolahan hari ini.

"Belanjawan Perak banyak menyumbang bukan sahaja kepada sekolah milik kerajaan malah sekolah mubaligh dan sekolah tahfiz.

"Bantuan perkapita pelajar diteruskan dengan peruntukkan RM2 juta kepada sekolah tahfiz dan swasta selain sekolah agama rakyat sebanyak RM3 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, peruntukan Kelab Guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dinaikkan kepada RM2 juta berbanding RM1.2 juta tahun lalu.

"Ini adalah usaha mendapatkan sokongan, kerjasama, dan penglibatan ibu bapa dalam memacu kegemilangan pendidikan negeri secara bersama.

"Saya percaya tahun 2020 menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan kegemilangan pendidikan negeri tanpa diskriminasi kepada mana-mana sekolah," katanya.