Dua lagi wartawan Palestin maut dalam serangan Israel

Wael al-Dahdouh memegang tangan anaknya Hamza yang maut susulan serangan Israel di Rafah. Foto AP
Wael al-Dahdouh memegang tangan anaknya Hamza yang maut susulan serangan Israel di Rafah. Foto AP
A
A
A

GAZA - Serangan udara Israel ke atas sebuah kereta berhampiran Rafah di selatan Gaza membunuh dua wartawan Palestin yang bertugas melaporkan kejadian itu, pada Ahad.

Hamza al-Dahdouh dan Mustafa Thuraya kedua-duanya adalah wartawan bebas.

Al-Dahdouh adalah wartawan sambilan untuk Al Jazeera dan merupakan anak kepada ketua koresponden stesen TV tersebut di Gaza, Wael al-Dahdouh.

Seorang lagi wartawan bebas, Hazem Rajab turut cedera dalam serangan itu.

Rangkaian media Al Jazeera mengecam pembunuhan kedua-duanya dan berkata, ia adalah serangan yang disengajakan.

Al Jazeera mengesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kerajaan dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) supaya mempertanggungjawabkan Israel atas jenayah kejinya dan menuntut penamatan sasaran dan pembunuhan wartawan.

Tentera Israel dalam pada itu tidak mengeluarkan kenyataan balas daripada dakwaan kedua-dua wartawan itu dijadikan sasaran.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sebuah badan pemerhati antarabangsa berkata, 77 wartawan dan pekerja media terbunuh, sehingga Sabtu.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata, dua kematian baharu itu meningkatkan jumlah wartawannya sendiri yang terkorban akibat serangan Israel kepada 109.

Artikel Berkaitan:

Wael al-Dahdouh amat terkenal dalam kalangan penonton di seluruh Asia Barat selepas dia mengetahui bahawa isterinya, seorang lagi anak lelaki, anak perempuan dan cucunya terbunuh dalam serangan udara Israel, ketika sedang bersiaran. - Awani