'Terima kasih PM dengar suara anak saya'

Rajheswaran menunjukkan kenyataan maklum balas KPM berkenaan isu anaknya.
Rajheswaran menunjukkan kenyataan maklum balas KPM berkenaan isu anaknya.
A
A
A

SEREMBAN - "Terima kasih PM kerana dengar suara anak say," kata P Rajheswaran, 44, bapa kepada kanak-kanak berusia 10 tahun yang menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dibenarkan meneruskan persekolahan baru-baru ini.

Menurutnya, dalam pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember lalu, dia dimaklumkan yang anaknya boleh kembali ke sekolah pada sesi persekolahan akan datang.

Rajheswaran memadankan baju sekolah Shivaani.
Rajheswaran memadankan baju sekolah Shivaani.

"Ini kerana sesi persekolahan sekarang nak tamat dalam masa sebulan. Malah saya juga akan dibantu dalam isu kewarganegaraan anak saya ini.

"Sebagai bapa saya mengharapkan Shivaani dapat bersekolah seperti biasa demi masa depannya dan saya lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah respon isu anak saya ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya di sini selepas menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu, pada Ahad.

Menurutnya, dalam tempoh setahun tidak bersekolah, dia akan menghantar Shivaani belajar dengan ibu saudaranya dari rumah.

Ujarnya, dari situ dia melihat kesungguhan anak tunggalnya itu mahu belajar dan kerap bertanya bila dapat kembali ke sekolah bertemu rakan-rakannya.

"Anak saya mempunyai masalah dokumentasi kewarganegaraan kerana kesilapan saya tidak mendaftar perkahwinan dan setelah anak saya lahir pada tahun 2013, saya berpisah dengan isteri.

Artikel Berkaitan:

"Ketika saya cuba mendapat sijil kelahiran, pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) memaklumkan anak saya tidak dapat diberikan taraf kewarganegaraan kerana tidak ada maklumat ibu dan bapa," katanya.

Malah katanya, namanya sebagai bapa juga tidak dapat dimasukkan kerana perkahwinannya yang tidak didaftarkan.

Disebabkan itu ujar Rajheswaran, dalam sijil kelahiran anaknya, namanya hanya ditulis sebagai pemaklum dan nama ibu sahaja diletak dalam sijil tanpa maklumat lain.

"Jadi semua urusan berkaitan Shivaani jadi sukar termasuk mahu mendapatkan rawatan perubatannya di hospital atau klinik kerajaan kerana dia tiada taraf warganegara," katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu, P Manivanan berkata, dia akan membantu menguruskan permasalahan dihadapi Shivaani sehingga mendapat kewarganegaraan.

"Saya telah pun berjumpa dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mereka bersedia membantu mempermudahkan segala urusan.

"Sebenarnya ramai anak-anak yang hadapi masalah seperti Shivaani dan terdapat 45 kes di bawah kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saya di seluruh negara," katanya.

Jelasnya, kebanyakannya disebabkan perkahwinan tidak didaftarkan dan pada masa sama ibu anak-anak tersebut tidak dapat dikenal pasti dan merupakan warga asing.

Shivaani tekun belajar dengan ibu saudaranya.
Shivaani tekun belajar dengan ibu saudaranya.

Disebabkan itu katanya, hak anak-anak ini sebagai warganegara dinafikan yang mana mereka bukan saja tidak dapat bersekolah tetapi juga sukar mendapatkan rawatan di pusat perubatan kerajaan.

"Ada kes anak ini tak dapat sambung belajar walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan cemerlang hanya disebabkan masalah warganegara.

Kisah Shivaani telah mendapat perhatian daripada Kementerian Pendidikan (KPM) selepas dilaporkan sebuah portal baru-baru ini.

Shivaani sebelum ini bersekolah sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang.

Namun, pihak sekolah memaklumkan pada sesi pembukaan sekolan Mac tahun ini bahawa Shivaani tidak dapat meneruskan darjah empat pada tahun depan kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

KPM telah pun mengadakan pertemuan dengan keluarga murid tersebut dan dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pertemuan yang diadakan oleh JPNS pada 28 Disember lepas bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!