Anak Hamdan mahu teruskan legasi seni bapa

Muhamad Zeyreen Misha (kanan) semasa menguruskan jenazah bapanya di Jabatan Perubatan Forensik HSA, Johor Bahru pada Jumaat sebelum dibawa ke rumah keluarga Allahyarham di Taman Perpaduan, Ipoh Perak untuk dikebumikan.
Muhamad Zeyreen Misha (kanan) semasa menguruskan jenazah bapanya di Jabatan Perubatan Forensik HSA, Johor Bahru pada Jumaat sebelum dibawa ke rumah keluarga Allahyarham di Taman Perpaduan, Ipoh Perak untuk dikebumikan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anak-anak kepada pelakon dan pelawak kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli mengakui berminat untuk menerus legasi bapa mereka dalam bidang seni.

Anak sulungnya, Muhamad Zeyreen Misha, 31, berkata, bakat mereka akan cuba digilap apabila tiba masanya nanti selain perlu mendapatkan restu daripada ibu mereka.

"Bab legasi itu kami ada minat cuma ada masa, ada rezeki nanti kami akan tonjol (bakat), ada rezeki akan meluas (melangkah ke dalam bidang seni) ke hadapan," katanya ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Jumaat.

Hamdan atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 55, menghembuskan nafas terakhirnya di HSA kira-kira jam 12.40 tengah hari Jumaat.

Allahyarham meninggalkan empat anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21, serta isteri, Norhamalini Ahmed, 53.

Sementara itu, Muhamad Syazreen berkata, bapanya sempat berpesan kepada semua adik-beradiknya supaya menjaga ibu mereka.

Van membawa jenazah Hamdan dari HSA, Johor Bahru ke rumah keluarga Allahyarham di Taman Perpaduan, Ipoh Perak untuk dikebumikan.
Van membawa jenazah Hamdan dari HSA, Johor Bahru ke rumah keluarga Allahyarham di Taman Perpaduan, Ipoh Perak untuk dikebumikan.

“Memang babah ada pesan supaya jaga ibu seperti mana beliau (arwah) menjaga isterinya. Waktu babah pesan saya dan adik-beradik lain ada di samping babah.

Artikel Berkaitan:

“Babah sempat beritahu dia sayang peminat-peminatnya. Insya-ALLAH saya akan jalankan amanah seperti mana yang babah pesan dan mahu. Insya-ALLAH saya akan ingat pesan babah," katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke kampung halamannya di Taman Perpaduan, Ipoh, Perak untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Tambon, pada malam Jumaat.

Sebelum ini, anggota kumpulan Senario itu terpaksa ditidurkan di HSA selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Menurut anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, bapanya dibawa ke hospital kerana mengalami cirit-birit pada malam Khamis.

Hamdan datang ke Johor untuk menjayakan acara Wonderful Night with Senario Union pada malam ambang tahun baharu.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudian membentuk kumpulan Senario pada 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada 2022, Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3.