Kerajaan Madani fokus aspek ekonomi, dorong pelaburan pada 2024 - Fahmi

Fahmi (tengah) ketika sidang media Kerajaan Perpaduan selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya hari ini. Foto Bernama
Fahmi (tengah) ketika sidang media Kerajaan Perpaduan selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Fokus utama kerajaan Madani bagi 2024 ialah merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan memberi keutamaan dalam mendorong pelabur dalam dan luar negara membuat pelaburan di Malaysia, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, amanat itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesyuarat pertama Jemaah Menteri bagi tahun ini yang diadakan hari ini.

Fahmi berkata, menerusi mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menegaskan terdapat keperluan untuk melaksanakan penyelarasan fungsi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Antara perkara yang ditegaskan ialah memudah cara dan mempercepat proses mendapat kelulusan terutama bagi pelaburan.

"Perdana Menteri turut tegaskan aspek kelulusan (pelaburan) perlu diberi keutamaan, bukan dilonggarkan..tetapi dipercepatkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, perbincangan mengenai agensi yang akan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital masih diteruskan di samping isu seperti Digital Nasional Bhd (DNB) pula belum diputuskan.

Beliau berkata, status terkini berhubung pelaksanaan rangkaian 5G belum diperoleh dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Namun memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal di bawah Kementerian Komunikasi, maka Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan terus melaksanakan tugas sebagai pengerusi bersama pasukan petugas 5G.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangka tidak lama lagi liputan 5G kawasan berpenduduk (CoPA) mencapai 80 peratus, yang seterusnya membolehkan pelaksanaan dwi-rangkaian 5G,” katanya. - Bernama