Dana RM700 juta: Kementerian Komunikasi sedia bekerjasama

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penggunaan wang RM700 juta dibelanjakan bagi promosi dan publisiti oleh kerajaan sebelum ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau tidak mendapat sebarang pemakluman daripada SPRM.

"Sekiranya SPRM merasakan ada keperluan, itu hak mereka untuk menjalankan siasatan termasuk kementerian ini," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.

Terdahulu, SPRM pada Selasa mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti ketika era pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Satu sumber berkata, siasatan awal SPRM menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul.



Setakat ini, SPRM dilapor telah 'berkunjung' ke Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menjalankan proses siasatan.

Artikel Berkaitan:


Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November di Dewan Rakyat tahun lalu meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Susulan itu Fahmi turut membuat catatan di aplikasi X baru-baru ini bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta telah dibelanjakan.