Fahmi setuju J-KOM dirombak

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersetuju dengan pandangan agar fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah kementerian itu dirombak.

Walau bagaimanapun menurutnya, masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang pengumuman berhubung perkara itu.

"Sebenarnya sebelum isu ini dibangkitkan, saya sudah meneliti perkara tersebut.

"Kita memang melihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas selaras hasrat Kerajaan Madani.

"Sedikit sebanyak saya setuju dengan pandangan itu,” katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.

Terdahulu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesyorkan J-KOM dirombak secara menyeluruh selepas agensi itu mendakwa wujudnya 'Langkah Dubai' untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop itu 'cetek' dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau difahamkan kenyataan Ismail pada mulanya berasal daripada perbualan daripada Group WhatsApp yang disebarkan. Sehubungan itu katanya, penyelarasan perlu dibuat bagi mengelak kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fahmi berkata, Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan ditangguhkan meskipun terdapat beberapa isu teknikal yang timbul.

Ujar beliau, Jemaah Menteri yang bermesyuarat turut memutuskan agar PADU diteruskan seperti dirancang.

"Tidak timbul untuk tangguhkan kerana isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat," katanya.