[VIDEO] 'Tangguh pendaftaran PADU hingga isu keselamatan selesai' - Kian Ming

A
A
A

SHAH ALAM - Pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu ditunda buat sementara waktu sehingga beberapa kelemahan keselamatan diperbetulkan.

Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, pendekatan itu perlu dibuat kerana wujud kelemahan termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data.

"Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi platform X mengatakan, data yang disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan serta terdapat kemungkinan berlaku penggodaman.

"Tetapi, pengguna perlu mengisi lagi maklumat berkenaan. Bagaimana jika data ini tak sama dengan apa yang ada dalam PADU dan sistem tersebut mengesahkan maklumat lain berkaitan pendapatan sewa harta atau tanah?

“Terlalu banyak ruangan untuk diisi, ramai pengguna akan memilih tidak mengisi atau beri maklumat yang tidak tepat supaya kekal layak menerima subsidi kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ong Kian Ming.
Ong Kian Ming.

Sistem PADU yang dilancarkan pada 2 Januari lalu antara inisiatif kerajaan dalam menyelaraskan bantuan dan subsidi bersasar secara lebih adil kepada rakyat.

Ia dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Semua rakyat di negara ini yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data menerusi portal PADU, mengemas kini serta mengesahkan maklumat diri.

Kian Ming memaklumkan, pihaknya ingin sistem tersebut dilancarkan dengan jayanya kerana ia memberikan subsidi secara bersasar, termasuk penatikan subsidi petrol tidak disasarkan untuk diletakkan dalam mekanisme berkenaan.

Namun, kata beliau, ia tidak mungkin mencapai objektif berikutan terdapat penerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR), tetapi tidak layak menerimanya kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti sewa rumah atau tanah.

“Ia kerana mereka tidak akan mengisi maklumat tepat dalam sistem PADU.

"Selain itu, ada isu keselamatan utama di mana jika anda mempunyai nombor kad pengenalan (IC) dan poskod yang terkait dengan alamat IC pengguna, sesiapa saja boleh mendaftar untuk akaun PADU individu itu, tanpa perlu melalui Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC),” jelas beliau.

Tambah Kian Ming lagi, pihaknya turut menguji pendaftaran PADU bagi empat pemimpin DAP dan kesemuanya dibuat tanpa melalui pengesahan e-KYC.

“Saya juga boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC atau pengetahuan beliau," ujarnya.

Justeru, kerajaan digesa menangguhkan pendaftaran PADU selain mengambil masa untuk membuat pengujian sistem sebelum ia dilancarkan semula.

Menurut Kian Ming lagi, pengguna yang sudah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC perlu membuat pendaftaran semula selepas isu keselamatan diselesaikan.