Sistem PADU, tiada lagi yang tercicir

Kakitangan Jabatan Perangkawan, Khairunnisa Khaidir (kanan) membantu orang ramai mendaftar dan mengakses PADU yang dilancarkan hari ini. Foto Bernama
Kakitangan Jabatan Perangkawan, Khairunnisa Khaidir (kanan) membantu orang ramai mendaftar dan mengakses PADU yang dilancarkan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suara golongan memerlukan terutama M40 yang sering tercicir daripada menerima manfaat dan bantuan kerajaan, kini boleh menarik nafas lega dengan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menjamin penyelarasan subsidi dan bantuan lebih adil.

Hal ini secara tidak langsung dapat menangani ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi apabila sistem berkenaan akan mengenal pasti secara lebih mendalam perbelanjaan isi rumah setiap bulan, tanggungan, kos sara hidup mengikut lokasi dan tidak lagi berdasarkan pendapatan kasar, B40, M40 dan T20.

Seorang penjawat awam, Suzana Ismail, 43, berkata melalui sistem PADU, kerajaan dapat memperkemas pemberian bantuan secara holistik selain mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Ini antara penambahbaikan yang kita nanti-nantikan kerana selama ini tidak banyak bantuan yang diterima kategori M40 sedangkan kumpulan ini turut terbeban dengan jumlah tanggungan serta lokasi kediaman dan mungkin turut berada dalam kategori B40 atau miskin tegar berikutan cabaran ekonomi hari ini.

"Apabila bantuan lebih bersasar dengan mengambil kira jumlah tanggungan, kerajaan dapat menjimatkan lebih banyak wang seterusnya mempelbagaikan bantuan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Suzana berkata, pelaksanaan kaedah pemberian bantuan sebelum ini menyebabkan beliau sendiri tidak layak menerima bantuan yang ada sedangkan komitmen bulanan yang perlu ditanggung agak tinggi.

"Macam saya, sebulan untuk belanja persekolahan tiga orang anak, yuran dan tuisyen sahaja mencecah lebih RM1,000 tidak termasuk yuran aktiviti luar seperti kelas renang, silat dan sebagainya, ini belum lagi kira komitmen bayaran rumah, kereta dan lain-lain.

"Sepatutnya kaedah pelaksanaan bantuan ini telah lama dikaji semula, jadi apa yang dilaksanakan hari ini tepat pada masanya melihat kepada cabaran kos sara hidup yang tinggi pada masa ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Biarpun sistem itu dijamin akan memastikan pemberian bantuan yang lebih adil, pensyarah di Politeknik Nilai, Syafawati Noorhafizah Adnan Adil, 38, mengharapkan agar sistem itu sentiasa dipantau bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif.

Beliau berkata, sistem pendaftaran PADU seharusnya lebih mudah, tidak menyusahkan rakyat dan menitikberatkan ciri-ciri keselamatan yang lebih kukuh bagi mengelak berlakunya kebocoran data.

"Nampaknya, sistem PADU akan menjadi mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih berkesan kerana ia bersepadu dan menyeluruh pada semua peringkat masyarakat, tetapi untuk memastikan semua dapat diakses sistem itu perlu dipermudah,” katanya.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertujuan mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi yang selama ini dinikmati golongan yang tidak selayaknya.

Pengenalan sistem itu adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan. - Bernama