Tahun baharu berdarah

Penduduk Palestin berdiri atas runtuhan rumah mereka yang dibom tentera Israel di Khan Yunis menjelang malam Tahun Baharu. - Foto: AFP
Penduduk Palestin berdiri atas runtuhan rumah mereka yang dibom tentera Israel di Khan Yunis menjelang malam Tahun Baharu. - Foto: AFP
A
A
A

GAZA CITY - Tahun baharu di Palestin membawa duka apabila Israel berterusan melancarkan serangan pada malam Ahad dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa perang akan berlangsung selama berbulan-bulan.

Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya 48 penduduk Palestin terbunuh di Gaza City dengan ramai tertimbus di bawah runtuhan.

“Selepas letupan itu, kami tiba serta-merta di tempat kejadian dan melihat mayat di merata-rata.

"Kanak-kanak masih hilang dan kami tidak dapat mencari mereka,” kata seorang penduduk selepas sebuah bangunan dibom.

Menurut seorang saksi lain, satu lagi serangan di Universiti Al-Aqsa di barat bandar Gaza telah membunuh 20 orang yang berlindung di situ.

Tentera Israel dilaporkan membunuh puluhan pejuang Hamas dalam beberapa pertempuran darat, udara dan serangan kereta kebal selain menyatakan mereka menjumpai terowong milik kumpulan itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika pertempuran masih berlanjutan, 85 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal selain berdepan risiko kelaparan dan penyakit selepas berlindung di dalam khemah sementara.

Komuniti dunia kini telah menyaksikan peperangan dahsyat dalam konflik Hamas-Israel selepas tentera zionis melakukan pengeboman tanpa henti dan paling teruk memusnahkan hospital di Gaza.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah mengutuk ‘penderitaan manusia epik’ dan ‘hukuman kolektif’ terhadap orang awam Palestin oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau dan pemimpin dunia telah berulang kali menggesa gencatan senjata sementara Israel yang disokong oleh sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk meneruskan serangan sehingga Hamas dikalahkan. - AFP