Banjir di selatan Thailand menunjukkan tanda-tanda pemulihan

Kereta dan motosikal ditenggelami air akibat bencana banjir di Rangae, Narathiwat, Selatan Thailand pada 25 Disember lalu.
Hujan lebat dan berterusan di selatan Thailand mencetuskan banjir di Narathiwat dan Yala, serta menjejaskan sebanyak 9,697 isi rumah.
-- fotoBERNAMA HAK (2023) CIPTA TERPELIHARA
Kereta dan motosikal ditenggelami air akibat bencana banjir di Rangae, Narathiwat, Selatan Thailand pada 25 Disember lalu. Hujan lebat dan berterusan di selatan Thailand mencetuskan banjir di Narathiwat dan Yala, serta menjejaskan sebanyak 9,697 isi rumah. -- fotoBERNAMA HAK (2023) CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

BANGKOK - Keadaan di kawasan banjir di selatan Thailand menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila air mula surut di tiga wilayah terjejas-Narathiwat, Yala dan Pattani.

Bagaimanapun, bilangan isi rumah yang terjejas terus meningkat, mencecah hampir 100,000 di tiga wilayah itu.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana (DDPM), Chaiwat Junthirapong berkata, 93,220 isi rumah di 25 daerah di seluruh Narathiwat, Yala, dan Pattani terjejas akibat banjir.

Narathiwat paling teruk terjejas dengan 62,613 isi rumah di 13 daerah manakala Yala (15,457 isi rumah) dan Pattani (15,150 isi rumah) terjejas.

"Air mula surut di kesemua kawasan,” katanya.

Chaiwat berkata DDPM, kerajaan tempatan dan agensi berkaitan sedang menyelaras kerja bagi mengutamakan usaha menyalur bantuan, termasuk pembersihan dan pembaikan infrastruktur yang rosak.

Sementara itu, imej satelit Cosmo-SkyMed-4, yang dikeluarkan oleh Geo-informatics and Space Technology Development Agency (GISTDA), menunjukkan lebih 14,000 hektar tanah di lima wilayah selatan-Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla, dan Satun - ditenggelami banjir, menjejaskan lebih 27,000 rumah. - Bernama

Artikel Berkaitan: