Lelaki goda isteri orang di Perak masih boleh didakwa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Perak masih boleh dikenakan tindakan atas kesalahan itu di bawah undang-undang syariah negeri berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ini kerana Seksyen 30 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 masih terpakai dan boleh digunakan untuk mendakwa individu yang melakukan perbuatan itu.

"Mengikut Seksyen 30(1), sesiapa yang memikat seorang perempuan bersuami atau membawanya lari atau dengan apa-apa cara mempengaruhi beliau supaya meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah...

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan itu kembali kepada suaminya,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Pada 21 Disember lepas, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata individu yang melakukan kesalahan itu masih boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah negeri berkenaan.

Dianggap sebagai tidak berperlembagaan, Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan selepas mendapati ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina yang bertentangan dengan Perkara 8(2).

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan yang merujuk persoalan berhubung perkara tersebut iaitu sama ada Seksyen 498 tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!