Lelaki goda isteri orang di Pahang boleh didakwa

A
A
A

KUANTAN - Lelaki Islam di Pahang boleh dikenakan tindakan atas kesalahan menggoda isteri orang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang, Mohamed Sazali Abdul Aziz memberitahu, mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 44 enakmen tersebut.

Menurutnya, di bawah seksyen tersebut, mereka yang melarikan isteri orang atau menyebabkan seseorang isteri itu lari meninggalkan suaminya jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

"Mahkamah juga boleh memerintahkan supaya isteri itu kembali atau dihantarkan kepada suaminya," kata beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas beliau, buat masa ini pihaknya belum pernah menerima kes di bawah seksyen terbabit.

Dalam pada itu, Mohamed Sazali yang juga Ahli Badan Peguam Malaysia memberitahu, Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang juga mewujudkan pusat khidmat guaman secara percuma untuk mereka yang layak dan memerlukan.

"Kita berikan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan, namun tidak sampai ke peringkat mengendalikan kes," katanya terdapat lebih 60 ahli berdaftar dengan pertubuhan yang diwujudkan sejak 2015 itu.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana ia tidak berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.