Goda isteri orang boleh didakwa di Kedah

Mana-mana lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Kedah masih boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Mana-mana lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Kedah masih boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Kedah masih boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Kedah, Hamdi Ishak berkata, terdapat peruntukan undang-undang syariah hampir sama bagi kesalahan lelaki yang menggoda isteri orang.

Hamdi Ishak
Hamdi Ishak

Beliau memaklumkan, peruntukan terbabit adalah di bawah Seksyen 32 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 untuk kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.

"Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan.

"Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menambah, mahkamah juga boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.

"Selagi tidak ada mana-mana mahkamah iaitu Mahkamah Persekutuan yang membatalkan peruntukan dalam Seksyen 32 itu, seksyen itu masih berkuat kuasa dan mana-mana orang Islam yang terlibat dengan kesalahan tersebut boleh didakwa dan disabitkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mana-mana lelaki yang disabitkan kesalahan menggoda isteri orang di Terengganu berdepan denda RM5,000 atau hukuman tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, kesalahan menggoda dan memikat isteri orang termaktub di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Sementara itu, Presiden PGSM, Musa Awang berpandangan lelaki yang menggoda isteri orang masih boleh didakwa di bawah undang-undang syariah negeri-negeri walaupun peruntukan di Mahkamah Persekutuan sudah tidak boleh diguna pakai.

Di bawah undang-undang syariah, masih kekal terdapat peruntukan hampir sama bagi kesalahan lelaki yang menggoda isteri orang