Projek jambatan: Peniaga terjejas terima kunci lot kedai baharu

Seramai 18 peniaga Medan Putra menerima kunci lot kedai baharu di Unit Komersial MBAS, di Alor Setar pada 21 Disember lepas.
Seramai 18 peniaga Medan Putra menerima kunci lot kedai baharu di Unit Komersial MBAS, di Alor Setar pada 21 Disember lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebahagian peniaga Medan Putra yang terkesan dengan pembinaan semula Jambatan Manjalara, di sini, telah menerima kunci lot kedai baharu pada 21 Disember lepas.

Ketua Bahagian Pembangunan Kerja Awam Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Ahmad Sujairi Hassan berkata, proses penyerahan kunci untuk fasa 1 kepada 18 dari 36 peniaga yang terlibat itu dilakukan di Unit Harta Komersial MBAS.

Beliau memaklumkan, peniaga terlibat mula berpindah masuk ke tempat baharu iaitu tapak pasar malam Jalan Putra bermula Khamis lepas hingga 31 Disember ini.

"Kerja pembinaan 18 lot kedai di tapak baharu bermula pada Julai sebelum siap pada 8 November lepas sekali gus sedia digunakan mereka.

Kedai baharu di tapak pasar Malam Jalan Putra, di sini.
Kedai baharu di tapak pasar Malam Jalan Putra, di sini.

"Selepas kita membuat penyambungan elektrik dan bekalan air, mereka dijangka boleh beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan,” katanya pada Sinar Harian baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Harta MBAS, Zamzama Mohd berkata, sebelum ini, MBAS dimaklumkan hanya 18 peniaga di kedai hadapan terlibat dengan projek berkenaan.

Beliau memaklumkan, pihaknya kemudiannya menerima notis bertulis pada 22 November lepas memaklumkan bahawa kesemua 36 kedai terlibat dengan projek itu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, MBAS bersetuju untuk membina lot kedai tambahan untuk 18 lagi peniaga Medan Putra di tapak sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembinaan lot kedai tambahan untuk fasa kedua akan mengambil sedikit masa dan baki 18 peniaga terlibat dijangka boleh beroperasi di tapak itu pada 1 Mei 2024.

Sebelum ini, peniaga Medan Putra mendakwa perniagaan mereka merosot berikutan penutupan jalan untuk projek penggantian Jambatan Manjalara di Jalan Putra, di sini.

Pengerusi Peniaga Medan Putra, Parwz Ahmad Nesar Ahmad,55, berkata, penutupan jalan menyebabkan 36 peniaga di premis terjejas sehingga 80 hingga 90 peratus perniagaan masing-masing.

Jelas beliau, ketika ini, peniaga terlibat masih berniaga di sebelah tapak projek dan pendapatan mereka terjejas teruk sejak lapan bulan lepas selepas penutupan jalan demi memberi laluan kepada projek itu.

Seramai 36 peniaga Putra tersebut terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada pembinaan semula Jambatan Manjalara bermula April lalu.