Penduduk tuntut laluan baharu ganti jambatan Sungai Pasir Jering

Lebih 500 penduduk di empat buah kampung menuntut kerajaan membina laluan baharu yang lebih selamat bagi menggantikan peranan jambatan di Sungai Pasir Jering di Kuala Krai. (Gambar kecil: Mohd Ramli Awang, Norasmizan Hassan)
Lebih 500 penduduk di empat buah kampung menuntut kerajaan membina laluan baharu yang lebih selamat bagi menggantikan peranan jambatan di Sungai Pasir Jering di Kuala Krai. (Gambar kecil: Mohd Ramli Awang, Norasmizan Hassan)
A
A
A

KUALA KRAI - Lebih 500 penduduk di empat buah kampung menuntut kerajaan membina laluan baharu yang lebih selamat bagi menggantikan peranan jambatan di Sungai Pasir Jering dekat sini.

Laluan baharu itu merupakan alternatif terbaik buat penduduk di Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Batu Pagar untuk melaksanakan urusan harian mereka seperti ke tempat kerja, sekolah, klinik dan sebagainya.

Seorang suri rumah, Norasmizan Hassan, 47, berkata, setiap kali hujan lebih dua jam mereka akan terputus hubungan kerana jambatan tersebut akan ditenggelami banjir.

"Situasi ini turut berlaku di luar musim tengkujuh. Hujan lebat lebih dua jam, jambatan yang menjadi nadi kepada 500 penduduk di empat buah kampung ini akan tenggelam dan kami terkepung," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Peniaga kedai runcit, Rosmah Shafein, 55, sudah hampir seminggu tidak dapat berniaga barangan basar selepas jambatan Sungai Pasir Jering, Kuala Krai runtuh.
Peniaga kedai runcit, Rosmah Shafein, 55, sudah hampir seminggu tidak dapat berniaga barangan basar selepas jambatan Sungai Pasir Jering, Kuala Krai runtuh.

Menurutnya, walaupun jambatan yang runtuh akibat banjir baru-baru ini sudah dibaik pulih, namun ia bukan penyelesaian terbaik kepada masalah tersebut.

Katanya, disebabkan itu mereka menuntut satu laluan baharu dibuat kerana ia mampu menjadi 'penyelamat' kepada penduduk untuk terus berhubung dengan dunia luar.

Seorang penduduk, Mohd Ramli Awang, 50, memberitahu, kejadian jambatan runtuh yang berlaku pada Ahad lalu merupakan kali pertama sepanjang menetap di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, bah kuning 2014 lalu hanya menyebabkan jambatan tersebut tenggelam dan tidak merosakkan strukturnya.

Tambahnya, banjir kali ini berbeza apabila jambatan itu bukan sahaja ditenggelami air tetapi rosak teruk.

"Alhamdulillah, jambatan yang runtuh itu sudah dibaik pulih dan boleh digunakan semula oleh penduduk.

"Namun kami berharap laluan baharu dapat diwujudkan bagi menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang," ujarnya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Chenulang, Mat Jusoh Mat Nor berkata, laluan baharu merupakan penyelesaian terbaik kepada masalah tersebut.

Mat Jusoh (kiri) bersama penduduk menunjukkan jambatan Sungai Pasir Jering yang telah siap dibaiki selepas hampir seminggu runtuh akibat banjir.
Mat Jusoh (kiri) bersama penduduk menunjukkan jambatan Sungai Pasir Jering yang telah siap dibaiki selepas hampir seminggu runtuh akibat banjir.

Beliau berkata, perkara tersebut telah mendapat perhatian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung cadangan membina laluan baharu itu.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Lattif Abdul Rahman dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Mengkebang, Zubir Abu Bakar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 500 penduduk daripada empat kampung dekat Chenulang dekat sini terputus hubungan apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.