Banjir: Penduduk cadang buka PPS di Kampung Pasir Jering

Penduduk melihat Jambatan Pasir Jering yang ditenggelami air akibat hujan lebat.
Penduduk melihat Jambatan Pasir Jering yang ditenggelami air akibat hujan lebat.
A
A
A

KUALA KRAI - Penduduk Kampung Pasir Jering di sini mencadangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung itu berikutan kesukaran mereka untuk berpindah jika berlaku kerosakan jambatan.

Peniaga, Mohd Saidi Jaafar, 56, berkata, PPS memudahkan penduduk untuk berpindah dan tidak perlu menyeberangi Jambatan Pasir Jering di Sungai Nal untuk ke PPS di Kampung Chenulang.

Menurut beliau, jambatan Pasir Jering yang sering ditenggelami air ketika banjir antara sebab utama perlu diwujudkan PPS.

"Kami bimbang jika banjir berlaku pada waktu malam yang bukan sahaja membahayakan penduduk tetapi anggota keselamatan kerana perlu bergerak dengan segera," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Saidi
Mohd Saidi

Mohd Saidi memberitahu, sebagai peniaga, dia perlu mengambil stok barang di Pasar Kuala Krai tetapi sudah tiga hari tidak dapat menambah bekalan itu kerana terkepung dan jambatan pula rosak.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pas Kampung Pasir Jering, Mohd khairul Anuar Mohd Zainee berkata, kemudahan itu membolehkan penduduk berkumpul untuk memasak kepada mangsa banjir dan tidak perlu lagi menyeberangi sungai ke Kampung Chenulang.

Katanya, setiap tahun ada mangsa banjir di tepi sungai yang terpaksa berpindah dan memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada PPS, dapat berfungsi sebagai pusat bantuan banjir bagi memudahkan agihan dilakukan kepada mangsa.

"Kami harap pihak berkaitan memikirkan tempat sesuai untuk dijadikan PPS," katanya.

Dalam pada itu, jambatan yang sudah dibaiki selepas runtuh akibat arus deras minggu lalu kini ditenggelami air akibat hujan lebat malam tadi.

Keadaan itu menyukarkan penduduk dan mengganggu tugasan harian terutama yang memerlukan mereka keluar ke bandar.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 penduduk dari empat kampung dekat Chenulang terputus hubungan apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir.

Seramai 55 pegawai dan anggota polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bertugas memastikan keselamatan penduduk.