590,000 pengguna Pulau Pinang bakal alami gangguan bekalan air

Zairil (kiri) mendengar penerangan oleh Pathmanathan mengenai kawasan yang bakal terjejas dalam gangguan bekalan air pada Januari nanti.
Zairil (kiri) mendengar penerangan oleh Pathmanathan mengenai kawasan yang bakal terjejas dalam gangguan bekalan air pada Januari nanti.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 590,000 akaun pengguna Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Januari 2024.

Ia termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama di negeri ini.

Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, gangguan tersebut akan berlaku selama empat hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kawasan berlorek merah menandakan kawasan di bahagian pulau yang terjejas.
Kawasan berlorek merah menandakan kawasan di bahagian pulau yang terjejas.

Menurutnya, kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, dalam tempoh sama, pelbagai projek kerja air sampingan lain turut dijalankan di 22 lokasi lain di seluruh Pulau Pinang.

"Gangguan bekalan air berjadual ini akan bermula pada jam 6 pagi 10 Januari dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi 14 Januari nanti. Kerja membaiki dua unit injap kawalan utama ini sepatutnya dibuat sejak beberapa tahun lalu tetapi tiada masa yang sesuai.

"Ini adalah masa yang kita rasa sesuai kerana ada beberapa bahagian tidak pernah diganti sejak 50 tahun lalu. Jika kita tidak buat sekarang, kita bimbang ia akan rosak lebih rosak dan tiba-tiba bekalan air terputus.

"Jika ini berlaku, keadaan akan menjadi lebih teruk. Disebabkan itu, kita buat pengumuman sebulan awal untuk membolehkan pengguna yang terjejas membuat persediaan awal," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan.

Tambah Zairil, injap bocor tersebut telah menjejaskan operasi pengepaman air terawat di LRA dan menyebabkan kehilangan air yang ketara (NRW) setiap hari.

"Ketika ini, PBAPP mencatatkan 28.6 peratus kehilangan air yang ketara (NRW) setiap bulan yang mana, peratusan ini boleh dikurangkan selepas pembaikan injap ini dilakukan.

Kawasan berlorek merah menandakan kawasan di bahagian seberang yang terjejas.
Kawasan berlorek merah menandakan kawasan di bahagian seberang yang terjejas.

"Sehubungan itu, pemilik kedai mencuci kereta dan dobi supaya menghentikan operasi premis mereka sepanjang empat hari ini.

"Sementara bagi perindustrian, hotel dan hospital pula, mereka memang ada prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan mereka menyimpan air untuk kegunaan selama 48 jam. Jadi, saya rasa mereka tidak mempunyai masalah," katanya.

Zairil turut nasihatkan semua pengguna supaya mengehadkan penggunaan air sepanjang empat hari tersebut.

"Bagi mereka yang tinggal di kediaman bertingkat, mereka mempunyai tangki air sendiri. Oleh itu, mereka perlu berjimat cermat menggunakan bekalan air yang ada bagi memastikan kuantiti air tersebut mencukupi.

"Sementara bagi penduduk yang tinggal di kediaman atas tanah serta beberapa kawasan yang memerlukan, kita akan bekalkan tangki air daripada pasukan bomba sukarela, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri," katanya.

Menurut Zairil, PBAPP akan sentiasa mengemaskini maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air itu termasuk kawasan-kawasan terlibat di media sosial antaranya Facebook dan laman sesawangnya.