Pemulihan bekalan air di Barat Daya capai 99 peratus

Kakitangan PBAPP masih bekerja sepanjang masa untuk menangani isu setempat dan memulihkan bekalan air di daerah Barat Daya.
Kakitangan PBAPP masih bekerja sepanjang masa untuk menangani isu setempat dan memulihkan bekalan air di daerah Barat Daya.
A
A
A

GEORGE TOWN - Usaha pemulihan bekalan air di daerah Barat Daya telah mencapai paras 99 peratus pada pagi Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Ir Pathmanathan K berkata, bekalan air telah pulih untuk kira-kira 199,000 daripada 200,000 pengguna air yang terjejas akibat kejadian saluran paip pecah di dasar Sungai Perai.

Menurutnya, kakitangan PBAPP masih bekerja sepanjang masa untuk menangani isu setempat dan memulihkan bekalan air di tujuh kejiranan yang berada di penghujung saluran paip agihan (EoL) dan kawasan tanah lebih tinggi.

"Tujuh kawasan yang terlibat di Hospital Balik Pulau, Tingkat Relau, Setia Sky Vista, Vista Condominium, Emerald Park, Sunway Cassia dan Flat Lily.

"Anggaran jumlah pengguna yang masih kekurangan air dianggarkan seramai 1,000 pengguna malah pasukan lori tangki telah menghantar air ke semua kawasan yang terjejas," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, majoriti isu bekalan air yang belum pulih di kawasan kejiranan itu adalah berkaitan dengan sistem retikulasi dalaman (paip) di premis yang terjejas.

Namun begitu, jelasnya, juruteknik PBAPP bekerjasama dengan syarikat pengurusan dan penduduk untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, pihaknya mendapati penggunaan air yang tinggi di daerah Barat Daya dalam tempoh 72 jam yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak PBAPP memulakan kerja-kerja pemulihan bekalan air pada Jumaat terdapat penggunaan air yang tinggi di DBD Pulau Pinang, yang mungkin disebabkan oleh dua faktor utama.

"Antaranya ialah mengisi semula ratusan ribu tangki air kosong di semua premis kediaman, komersial dan perindustrian, termasuk di bangunan bertingkat, dan persediaan menyambut perayaan Hari Natal," katanya lagi.