PDRM pergiat gempur PATI seluruh negara, buru dalang, 'ali baba'

Antara warga asing yang berjaya ditahan pada Khamis di Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Antara warga asing yang berjaya ditahan pada Khamis di Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi besar-besaran menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara akan diteruskan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, operasi akan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hazani
Hazani

"Kita akan teruskan operasi bersepadu dengan lain-lain agensi.

"Ada beberapa lokasi telah dikenal pasti pihak polis sebagai 'hotspot' PATI di seluruh negara.

"Kita juga giat memburu tekong, dalang dan 'ali baba' yang terlibat dalam isu PATI ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi terbabit atas faktor keselamatan dan ketenteraman orang awam.

Tambah Hazani, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan sebarang isu membabitkan PATI.

Artikel Berkaitan:

"Polis menerima aduan daripada orang awam mengenai lambakan PATI.

"Operasi ini juga sebagai usaha membanteras aktiviti jenayah," katanya.

Pada Khamis, operasi kira-kira jam 11 pagi itu melibatkan kekuatan dari unit di bawah KDNKA iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang, di sini, digempur bermula jam 11 pagi, selain pemeriksaan sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

Operasi terbabit turut merampas barang kontraban yang terdiri daripada arak dan rokok bernilai RM70,000 dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM34,530.