Mangsa banjir di Terengganu menurun 812 orang

Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto APM
Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 812 orang.

Sehingga jam 8 pagi tadi, hanya 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di tiga daerah iaitu Dungun, Marang dan Setiu yang menempatkan 180 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 583 mangsa daripada 147 keluarga sudah dipindahkan ke enam PPS yang telah diaktifkan.

Menurutnya, mangsa banjir di daerah Marang pula kini seramai 179 orang daripada 22 keluarga dan semua mereka ditempatkan di tiga PPS yang diaktifkan di sana.

"Bagi daerah Setiu pula melibatkan 11 keluarga terdiri daripada 50 individu sudah dipindahkan ke sebuah PPS," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, enam PPS yang dibuka di Dungun iaitu Balai Raya Kampung Pelandang, Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar, SK Tok Kah, SK Pulau Serai, SK Tanjung Pati dan SK Sura.

Tambah kenyataan tersebut, tiga PPS dibuka di Marang iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai, SK Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang manakala di sebuah PPS dibuka di Setiu iaitu Surau Kampung Nyatoh.

Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.

Artikel Berkaitan: