Ibu didakwa abai, anak dua tahun maut dalam kereta

Nur Sari Fardiana (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya yang berusia dua tahun tiga bulan, November lalu.
Nur Sari Fardiana (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya yang berusia dua tahun tiga bulan, November lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tiga bulan, yang maut setelah berada lebih tujuh jam dalam kereta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan pengabaian, bulan lalu.

Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan meninggalkan kanak-kanak berkenaan dalam kereta sehingga meninggal dunia, di hadapan sebuah rumah di Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara di sini antara jam 8 pagi hingga 3.15 petang, 8 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang jaminan.

Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas ditinggalkan lebih tujuh jam dalam kereta, di kawasan perumahan Ara Damansara, bulan lalu.
Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas ditinggalkan lebih tujuh jam dalam kereta, di kawasan perumahan Ara Damansara, bulan lalu.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan.

"Akibat kejadian tersebut, dia mengalami trauma selama sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Syaliza membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Ibu kepada tiga anak (termasuk mangsa) dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 30 Januari tahun depan untuj sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 9 November lalu, kanak-kanak malang itu maut setelah ditinggalkan ibunya dalam kereta di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati, pada jam 7 pagi, suspek membawa dua anaknya bersama mangsa ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.

Bagaimanapun, ketika tiba di tadika, dia berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.

Wanita itu kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan itu.

Dia hanya menyedari mangsa berada di kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada jam 3.35 petang.