PPZ-MAIWP galak asnaf ceburi pertanian bandar

Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan bagi program pertanian bandar di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis Perlis 2 pada Sabtu.
Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan bagi program pertanian bandar di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis Perlis 2 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggalakkan golongan asnaf di kawasan perumahan awam menceburi program pertanian bandar sebagai sebahagian usaha membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sebagai permulaan, lebih RM44,000 disalurkan kepada 100 asnaf terdiri daripada tukang kebun dan pekerja sektor kebersihan Jabatan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, program tersebut mendapat kerjasama MAIWP, DBKL, Alam Flora, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Jabatan Pertanian bertujuan membantu penduduk KRT menambah baik kualiti hidup melalui pertanian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Kami mahu program ini berjaya dan sasaran kami supaya peserta asnaf ini dapat berpindah daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.

"Ia selari dengan sasaran kutipan RM1 bilion pada tahun ini, wang tersebut disalurkan kepada Baitulmal untuk diagihkan dan dilaksanakan projek ekonomi seperti pertanian bandar ini," katanya pada Program Pertanian Bandar dan Gotong Royong Muhibbah PPZ-MAIWP di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis Perlis 2 pada Sabtu.

Abdul Aziz (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta Program Pertanian Bandar dan Gotong Royong Muhibbah PPZ-MAIWP di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis Perlis 2 pada Sabtu.
Abdul Aziz (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta Program Pertanian Bandar dan Gotong Royong Muhibbah PPZ-MAIWP di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis Perlis 2 pada Sabtu.

Turut hadir, Penasihat Jawatankuasa KRT Perumahan Awam Seri Perlis 2, Datuk Dr Elli Mohd Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Pada program itu, sebanyak sepuluh syarikat sub kontraktor dan syarikat pembekal pokok dan baja turut menunaikan zakat perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz yang juga Ahli Lembaga Pengarah MAIWP berkata, sebanyak lapan projek pertanian bandar di bawah MAIWP dilaksanakan tahun lepas dan diteruskan dengan sasaran 10 projek pada tahun ini.

"Kali ini PPZ-MAIWP sendiri akan melaksanakan program sama menerusi dana wakalah. Wang diterima daripada zakat syarikat akan disalurkan kepada projek pertanian bandar seperti ini dengan harapan peserta mampu membayar zakat kelak, Insya-ALLAH.

"Asnaf yang dipilih menerusi program ini akan dipantau oleh jawatankuasa juga jabatan pertanian bagi memastikan projek ini berjaya," ujar beliau.

Dalam pada itu beliau turut menyambut baik cadangan operasi pasar tani yang bakal berfungsi sebagai medium pemasaran hasil pertanian bandar.

"Saya bimbang jika berjaya hasil pengeluaran yang banyak tetapi tiada pasaran mantap akan menyebabkan lambakan hasil dan tiada pembeli.

"Dengan adanya pasar tani tersebut, akan dapat memperluaskan lagi pembeli untuk pasaran pertanian bandar ini, " katanya.