Perak sambut baik cadangan galeri seni M Daud Kilau

Allahyarham M Daud Kilau
Allahyarham M Daud Kilau
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyambut baik cadangan untuk mewujudkan galeri seni sebagai mengenang pembabitan bintang seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, langkah itu bukan sahaja sebagai tanda menghargai sumbangan Allahyarham dalam industri seni, tetapi dapat dijadikan tarikan pelancong.

Sze Yee (kanan) sempena majlis menandatangani MoU Tourism Perak bersama Grab Malaysia pada Rabu.
Sze Yee (kanan) sempena majlis menandatangani MoU Tourism Perak bersama Grab Malaysia pada Rabu.

Bagaimanapun menurutnya, usaha sebegitu memerlukan perbincangan yang menyeluruh daripada banyak pihak terutama ahli keluarga.

"Walaupun kita di pihak kerajaan, kita tidak boleh buat suka-suka (nak wujudkan galeri), kena hormat dan dapatkan persetujuan serta pandangan daripada keluarga juga.

"Jadi sekiranya ada cadangan nanti, kita boleh lihat mana-mana agensi yang bersesuaian untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Tourism Perak bersama Grab Malaysia di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengarah Strategi dan Bandar Luar Grab Malaysia, Ben Chin.

Penyanyi berusia 85 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

M Daud Kilau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau mula menceburi bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu meninggal seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah; dua anak, Noraini, 58, dan Ahmad Zaini, 52, bersama sembilan cucu dan dua cicit.

Sementara itu, Sze Yee berkata, kerjasama antara Grab Malaysia dengan Tourism Perak sebagai rakan kongsi strategik dimeterai bagi memastikan pelancong mempunyai pilihan pengangkutan yang mudah dan boleh dipercayai sepanjang melakukan aktiviti pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Katanya, kerjasama itu memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu rakan kongsi e-hailing eksklusif, pengalaman hidangan lima bintang dengan Grab Food dan rakan pemandu Grab sebagai duta.

"Bersama Tourism Perak, Grab Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan teknologi dan kerjasama untuk memudahkan pengalaman perjalanan bagi memacu pertumbuhan pelancongan di Perak.

"Matlamat kempen ini adalah untuk menarik lebih daripada 8 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tahun 2024," katanya.