Mengenang M Daud Kilau: Suasana hiba selubungi Masjid Tuminah Hamidi

Ahli keluarga Allahyarham setia mendampingi jenazah Allahyarham Datuk M. Daud Kilau sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, pada Selasa. - Foto Awani
Ahli keluarga Allahyarham setia mendampingi jenazah Allahyarham Datuk M. Daud Kilau sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, pada Selasa. - Foto Awani
A
A
A

BAGAN DATUK - Suasana hiba dan sayu menyelubungi Masjid Tuminah Hamidi sebaik sahaja jenazah penyanyi legenda tanah air, Datuk M Daud Kilau tiba di masjid berkenaan, di sini.

Jenazah seniman tersohor itu tiba sekitar jam 9.17 pagi tadi diiringi beberapa ahli keluarga termasuk dua anaknya, Noraini Muhammad Daud, 58, dan Ahmad Zaini, 52.

Jenazah arwah kemudian diletakkan di dalam masjid bagi memberi laluan untuk penghormatan terakhir daripada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

Ahli keluarga M Daud setia mendampingi jenazah Allahyarham sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran.

Sepanjang pemerhatian Awani juga, sebilangan pengunjung yang hadir memberian penghormatan terakhir kepada Allahyarham M Daud juga tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata.

Setakat ini, sekitar 100 ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan Allahyarham hadir ke masjid tersebut bagi mengikuti perjalanan terakhir anak seni kelahiran Bagan Datuk itu.

Difahamkan, solat jenazah akan disempurnakan selepas solat Zohor sebelum dikebumikan di Kampung Sungai Baroh, sekitar pukul 2 petang ini.

Allahyarham M Daud menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.46 petang Isnin di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan komplikasi jantung.

Penglibatan awal M Daud dalam bidang seni bermula selepas beliau menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis. - Awani