Tiada lagi gelek, gurau senda M Daud Kilau

Allahyarham M Daud Kilau
Allahyarham M Daud Kilau
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian penyanyi legenda tanah air, Datuk M Daud Kilau merupakan satu kehilangan besar buat industri seni negara, malah meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan artis.

Terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia, pelantun lagu Cek Mek Molek itu disifatkan sebagai individu yang amat merendah diri dan profesional malah amat disenangi dalam kalangan rakan artis dan industri seni tempatan.

Rakan artis yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, sebagai rakan sepentas yang dikenalinya sejak 50 tahun lalu, kehilangan M Daud Kilau sangat menyedihkan.

"Kita kehilangan seorang tokoh anak seni negara, YKAT amat sedih dengan berita pemergian Allahyarham, kami mendoakan agar keluarga arwah tabah menghadapi saat sedih ini.

"Saya sendiri amat terkejut...saya sudah kenali beliau lebih 50 tahun, menyanyi bersama, kami sepentas dan banyak aktiviti nyanyi kami bersama, ini amat menyedihkan,” katanya kepada Bernama.

DJ Dave berkata, perwatakan M Daud Kilau yang gemar bergurau dan suka menghiburkan rakan-rakan akan sentiasa menjadi kenangan abadi dalam hidupnya.

Beliau menerima khabar duka itu ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi keluarga mendiang Lewis Pragasam iaitu pemain drum terkenal negara dan Asia yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi.

M Daud Kilau merupakan penerima pencen YKAT sejak Mac 2020 dan pihak YKAT bercadang untuk menziarahi keluarga Allahyarham esok.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beberapa rakan artis turut menitipkan ucapan takziah di atas pemergian artis veteran itu antaranya Noorshila Amin dan Zulkifli Ismail.

Sepanjang kariernya, M Daud Kilau banyak merakam lagu bergenre langgam, asli dan dangdut dengan pelbagai lagu hits antaranya Gurindam Jiwa, Gila Judi dan Cubit-Cubit Sayang selain menghasilkan lebih 15 album.

Terdahulu, M Daud Kilau, 85, atau nama sebenarnya Mohd Daud Kilau disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira 4.40 petang hari ini oleh cucunya Hasnor Ikram melalui laman sosial Instagram.

Sebelum ini penyanyi era 70-an itu dilaporkan dimasukkan ke hospital berikutan keadaan kesihatan kurang memuaskan, malah media melaporkan Allahyarham mengalami beberapa masalah kesihatan antaranya kencing manis, keadaan jantung tidak stabil serta kurang pendengaran.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balah Baroh, Bagan Datuk, Perak selepas Zuhur esok. - Bernama