Kiriman wang pekerja Indonesia cecah AS$8.95 bilion

Kiriman wang pekerja Indonesia mencecah 139 trilion rupiah (AS$8.95 bilion) tahun lepas. - Foto Reuters
Kiriman wang pekerja Indonesia mencecah 139 trilion rupiah (AS$8.95 bilion) tahun lepas. - Foto Reuters
A
A
A

JAKARTA - Kiriman wang pekerja Indonesia mencecah 139 trilion rupiah (AS$8.95 bilion) tahun lepas sekali gus menjadi penyumbang kedua terbesar pertukaran asing negara selepas sektor minyak dan gas, kata Naib Presiden, Ma' ruf Amin.

Beliau berkata, peranan penting yang dimainkan pekerja ini bukan sahaja mengurangkan pengangguran dan meningkatkan kedudukan ekonomi tetapi turut menambah pendapatan negara.

"Jumlah pekerja asing Indonesia mencecah 4.8 juta orang sejak 2007 hingga sekarang,” katanya pada sambutan Hari Migran Antarabangsa, di sini pada Isnin.

Ma'ruf menekankan kedudukan pekerja asing ini sebagai 'Foreign Exchange Heroes', berkhidmat sebagai duta yang mempromosikan aspek positif, termasuk budaya, masakan dan potensi pelancongan.

Menyedari kepentingan kumpulan ini, beliau menggesa kedua-dua kerajaan pusat dan wilayah untuk menunaikan kewajipan bagi menyediakan pekerja asing yang cekap.

Persediaan itu merangkumi kecekapan teknikal dan linguistik bagi memastikan pekerja ini dapat merebut peluang pekerjaan di luar negara dengan berkesan.

"Mereka mesti mempunyai akses kepada perkhidmatan dan perlindungan yang mencukupi daripada kerajaan Indonesia, majikan dan kerajaan negara yang mereka ingin berkhidmat, termasuk akses kepada perkhidmatan awam, perlindungan sosial, perlindungan undang-undang dan hak asasi pekerja," kata Ma'ruf.

Sambutan anjuran Badan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) itu bertemakan ‘Pekerja Migran Merdeka, Berdaya dan Sejahtera’ diadakan di Tennis Indoor Senayan, Jakarta Pusat.

Artikel Berkaitan:

BP2MI bertanggungjawab melaksanakan dasar berkaitan perkhidmatan bersepadu dan perlindungan pekerja asing negara, memainkan peranan penting dalam memupuk persekitaran yang menyokong tenaga kerja. - Bernama