Malaysia-Indonesia tingkatkan piawaian sektor penerbangan

Francis (kanan) dan Khairi (kiri) merasmikan pembukaan Pejabat Operasi GSA MKM TransNusa di Shah Alam pada Ahad.
Francis (kanan) dan Khairi (kiri) merasmikan pembukaan Pejabat Operasi GSA MKM TransNusa di Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

MALAYSIA dan Indonesia bergabung untuk meningkatkan lagi piawaian sektor penerbangan kedua-dua negara menerusi perkongsian strategik yang dijalin syarikat pelancongan terkenal Malaysia, MKM Ticketing, Travel & Tours Sdn Bhd (MKM Travel) syarikat penerbangan TransNusa Indonesia (TransNusa).

Pengarah Strategik MKM Travel, Abdul Hadi Abdul Raman berkata, ia menjadi kerjasama rintis bagi menyediakan perkhidmatan industri penerbangan dengan akses yang dipertingkatkan kepada pengguna.

Menurutnya, kerjasama itu dibuat menerusi pembukaan secara rasmi Pejabat Operasi Ejen Jualan Am (GSA) MKM TransNusa di Pusat Komersial Star Avenue, Subang Impian dekat sini.

“Apabila kedua-dua negara bergabung dalam sektor penerbangan, ia bukan sahaja meningkatkan piawaian industri tetapi juga memupuk hubungan yang lebih rapat antara negara-negara jiran.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen untuk pertumbuhan serantau, pembangunan ekonomi dan pertukaran budaya,” katanya pada majlis perasmian Pejabat Operasi GSA MKM TransNusa pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi MKM Travel, Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MKM Travel, Humaidi Mat Jahya dan dan CEO TransNusa, Datuk Bernard Francis.

MKM Travel diiktiraf sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan Malaysia sebagai syarikat pelancongan berlesen serta telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 13 Oktober 2011.

Abdul Hadi (tiga dari kanan) bergambar bersama Francis dan Khairi pada majlis perasmian pembukaan Pejabat Operasi GSA MKM TransNusa pada Ahad.
Abdul Hadi (tiga dari kanan) bergambar bersama Francis dan Khairi pada majlis perasmian pembukaan Pejabat Operasi GSA MKM TransNusa pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

MKM Travel juga menjadi salah sebuah syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Haji Saudi bagi menguruskan visa umrah dan juga mempunyai lesen haji daripada Lembaga Tabung Haji atau disebut sebagai ‘Pengelola Jemaah Haji (PJH)’ bagi menguruskan jemaah haji Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, keunikan kolaborasi terbabit terletak kepada penumpuan industri pelancongan Malaysia dan Indonesia serta menetapkan standard baharu dalam pendekatan berfokuskan kepentingan pelanggan.

“Penubuhan Pejabat Operasi GSA di Malaysia adalah untuk mengukuhkan perniagaan syarikat penerbangan TransNusa dalam mempelopori pasaran di Malaysia. GSA akan memainkan peranan penting dalam mempromosi, penjualan, pemasaran dan memberi sokongan kepada penumpang penerbangan TransNusa.

“Kerjasama ini menjuruskan ke arah penyediaan penumpang dari Malaysia, dengan akses yang dipertingkatkan kepada perkhidmatan TransNusa. Melalui kepakaran dan rangkaian tempatan yang ada pada syarikat MKM, penumpang akan berpengalaman melalui proses tempahan yang lancar dan mudah,” tambahnya.

Menurut beliau, inisiatif yang dilakukan itu juga akan memberikan lebih banyak pilihan penerbangan kepada penumpang.

Tambahnya, pada masa sama hubungan strategik tersebut dapat memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat di negara jiran kerana mereka beroperasi di Jakarta sejak 2018 menerusi anak syarikat, MKM Ticketing Travel Indonesia.

Sementara itu, Pengurus GSA MKM TransNusa, Mohammed Abdul Gafoor Abdul Rahman berkata, MKM Travel dan TransNusa dijangka akan mencapai pertumbuhan perniagaan bersama melalui kerjasama tersebut.

“Dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, perkongsian ini bertujuan untuk mencipta peluang baharu, meluaskan pasaran dan memberi pengalaman perjalanan yang luar biasa kepada pelanggan.

“Melalui perkongsian ini juga, MKM dan TransNusa akan menonjolkan dedikasi kami dalam menyediakan penyelesaian perjalanan yang inovatif dan boleh dipercayai,” ujarnya.