Covid-19: KKM perlu lihat bekalan vaksin terkini

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi perhatian segera terhadap beberapa perkara termasuk bekalan vaksin susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, peningkatan kes Covid-19 tidak seharusnya memberi tekanan terhadap sistem kesihatan awam Malaysia.

"Antara yang perlu diberikan perhatian melibatkan jumlah katil di hospital, rawatan diberikan dan persediaan di unit rawatan rapi (ICU).

"Mungkin kena melihat saranan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) yang dibuat baru-baru ini iaitu secara sukarela vaksin kepada golongan yang berisiko tinggi dan mempunyai masalah kesihatan," katanya.

Beliau yang juga Penasihat Belia Johor berkata demikian kepada pemberita sebelum merasmikan Persidangan Dewan Muda Johor di Bangunan Dato Jaafar Mohamad Kota Iskandar di sini pada Sabtu.

Ketika ditanya mengenai persediaan menghadapi Covid-19, Khairy Jamaluddin berkata, KKM mempunyai segala prosedur operasi standard (SOP) selain mungkin perlu melihat bekalan vaksin yang terkini.

Selain itu, beliau menyarankan KKM segera mengeluarkan peraturan membeli produk vape yang kini bebas dibeli oleh sesiapa selepas kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun.

Jelasnya, ini kerana produk vape boleh dibeli di kedai, kedai runcit atau restoran kerana kawalan yang sangat tidak ketat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sekarang KKM kena cepat dan sebelum keluar peraturan kena (maklumkan) di mana boleh beli vape," ujar beliau.

Pada 30 November Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas dibahaskan seramai 27 Ahli Parlimen selama dua hari

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

RUU ini terlebih dulu mendapat perhatian bukan saja dalam kalangan ahli Parlimen, tetapi pelbagai lapisan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar.