Hanya 2.5 peratus ambil dos penggalak kedua vaksin Covid-19

Berdasarkan data KKMNOW pada 9 Disember lalu, seramai 2,552 orang telah dijangkiti virus berkenaan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,123,672. - Gambar hiasan
Berdasarkan data KKMNOW pada 9 Disember lalu, seramai 2,552 orang telah dijangkiti virus berkenaan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,123,672. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya 2.5 peratus iaitu seramai 828,253 orang daripada 32.4 juta populasi keseluruhan rakyat Malaysia yang telah mengambil dos penggalak kedua vaksin Covid-19 dengan purata harian sebanyak 10 orang.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang KKMNOW memaparkan dos penggalak pertama telah mencapai lebih 50 peratus atau 16,346,867 orang penerima.

Sementara itu, sebanyak 86.2 peratus (28,137,346 orang) telah mengambil dos pertama Covid-19 manakala 84.4 peratus atau 27,550,526 orang menerima dos kedua.

Sejak kebelakangan ini, kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dan mengikut data KKMNOW pada 9 Disember lalu, seramai 2,552 orang telah dijangkiti virus berkenaan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,123,672.

Daripada jumlah tersebut, 20,017 kes yang masih lagi aktif dengan pecahan sebanyak 19,550 kes kini sedang menjalani kuarantin di rumah manakala 446 kes dirawat di hospital.

Seterusnya, 21 orang pesakit kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan jumlah kes sebanyak 19,553 kes dalam tempoh 14 hari.

Jika diperhatikan dengan skop yang lebih kecil, Selangor mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu sebanyak 6,599 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,686), Melaka (1,950), Pulau Pinang (1,161) dan Kedah (929).

Artikel Berkaitan:

Bagi kes kematian mengikut negeri dalam tempoh 14 hari, Selangor sekali lagi memaparkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak lima kes, diikuti dengan Pulau Pinang (3), Perak (3) dan Kedah (2).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes baharu yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.

Menurut beliau, bekalan vaksin sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dalam usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.