Kes Covid-19 di Selangor meningkat dua kali ganda

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes Covid-19 di Selangor menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda setakat minggu epidemiologi ke-49 dengan 4,326 kes berbanding 2,278 kes pada minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, secara keseluruhan, peratus kadar kematian akibat Covid-19 di Selangor sejak 1 Januari 2023 sehingga 9 Disember 2023 adalah sebanyak 0.2 peratus.

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin

Menurutnya, peningkatan kes berlaku di peringkat global termasuk dalam negara dan dijangka berlaku lonjakan kes susulan pergerakan pada musim perayaan Krismas serta musim cuti sekolah yang akan bermula Sabtu ini (16 Disember).

"Oleh yang demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan Selangor menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan elakkan mengunjungi tempat sesak.

"Selain itu, pakai pelitup muka terutama ketika berada di kawasan tertutup, sempit atau sesak.

"Amalan ini penting bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang menghidap penyakit kronik, mereka dengan sistem imun yang rendah dan ibu hamil, " katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, orang awam turut diingatkan menjaga kebersihan diri serta amalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) jika alami gejala serta mengambil vaksin terutama bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri menyeru warga Selangor untuk terus mematuhi garis panduan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Orang ramai juga diingatkan untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan bersama," katanya.