‘Kerjasama PH-BN kecilkan kerusi Amanah’ - Muammar Qadaffi

Muammar Qadaffi ketika membahaskan Pidato Ketua Pemuda sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar pada Sabtu. Foto: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muammar Qadaffi ketika membahaskan Pidato Ketua Pemuda sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar pada Sabtu. Foto: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mencari kaedah terbaik untuk memajukan parti dalam keadaan peluang kerusi bagi pilihan raya yang semakin mengecil susulan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Perwakilan Pemuda Amanah Terengganu, Muammar Qadaffi Mohd Nasir berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan parti khususnya dalam menarik sokongan golongan muda.

“Amanah sentiasa menjadi (parti) yang perlu berkorban. Saya yakin manfaat kerjasama (lebih banyak) daripada mudarat yang ada.

“Cabaran kita ketika ini bagaimana untuk berjuang menjadi parti pilihan anak muda. Sebuah parti yang idealis dalam benar-benar membawa suara golongan tersebut.

“Jadi, kita perlu bergerak untuk mencari kaedah menarik sokongan anak muda dalam keadaan ‘kek’ atau kerusi Amanah yang semakin kecil ini,” katanya ketika membahaskan Pidato Ketua Pemuda sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar di sini pada Sabtu.

Secara keseluruhan 15 perwakilan termasuk mahasiswa mengambil bahagian dalam perbahasan Pidato ketua Pemuda Amanah.

Dalam pada itu, Muammar Qadaffi berkata, demi memastikan keruntuhan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk antara PH dan BN, Amanah mengambil sikap berlapang dada walaupun peluang untuk bertanding pilihan raya semakin mengecil.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepimpinan parti untuk tidak takut mencuba idea baharu demi mengukuhkan lagi parti serta kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan: