Minta UMNO kembali kuat, kenyataan Mohamad tarik perhatian perwakilan

Mohamad ketika berucap di Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar, di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Mohamad ketika berucap di Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar, di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang meminta supaya UMNO kembali kuat menarik perhatian perwakilan di Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di salah sebuah pusat acara di Bangsar di sini pada Sabtu.

Ujarnya, parti Melayu terbesar itu perlu diperkukuhkan bagi memastikan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menarik pengundi Islam khususnya di negeri yang dikuasai pembangkang akan terlaksana.

"Tidak pernah (sebelum ini) saya bercakap minta UMNO kuat. Tapi ini fakta supaya kerajaan dapat bertapak semula di Kelantan dan Terengganu khususnya kita perlu bekerja erat dan kuat.

"Ini kerana Pakatan Harapan (PH) bagi Kelantan dan Terengganu kita (masih) belum menyerlah," katanya.

Tambah Mohamad Sabu, bagi mencapai hasrat itu, PH dan UMNO perlu memperkukuhkan lagi kerjasama dalam menarik kembali sokongan rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang berkenaan.

"Bukan ada formula dan teori payah sangat... kalau ada pilihan raya kecil (PRK), kita hurung betul-betul.

"Pemuda, Wanita, WARDA (Wanita Muda Amanah) semua turun bersama... insya-ALLAH, kita kembali memulihkan kedudukan di empat negeri," ujarnya.

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk pada November tahun lalu dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) - UMNO menjadi sebahagian daripada pemerintah di negeri ini.

Sebelum terbentuknya lakaran sejarah politik baharu di Malaysia ini, umum mengetahui UMNO-BN menjadi seteru politik kepada PH dan Amanah.

Artikel Berkaitan: