Penganjuran Kongres Ekonomi Melayu ‘tutup mulut’ pembangkang - Amanah

Mohd Hasbie ketika menyampaikan pidato bersempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di sebuah pusat acara di Bangsar, pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Mohd Hasbie ketika menyampaikan pidato bersempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di sebuah pusat acara di Bangsar, pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran Kongres Ekonomi Melayu dilihat bakal menoktahkan tohmahan pembangkang yang kononnya Kerajaan Perpaduan melupakan agenda Melayu.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, perhimpunan yang bakal dilangsungkan pada Januari tahun hadapan itu akan menjadi usaha memperjuangkan isu-isu Melayu dan bumiputera oleh kerajaan ketika ini.

“Pemuda Amanah menyambut baik penganjuran kongres itu, ia sekali gus menutup mulut pembangkang.

“Saya menyeru kepada Pemuda Amanah dan ahli secara umumnya mengambil bahagian aktif dalam kongres yang akan diadakan nanti,” katanya ketika menyampaikan pidato bersempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di sebuah pusat acara di Bangsar, pada Sabtu.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan kini telah memacu negara di landasan yang betul.

"Di bawah kerajaan sekarang, pelbagai perancangan ekonomi telah diadakan. Misalnya, kerangka Ekonomi Madani. Alhamdulillah dalam masa tidak sampai setahun kejayaan telah mula dirasai.

“Kadar pengangguran 34 peratus (Ogos 2023) iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum Covid-19, dan kini Malaysia kekal sebagai destinasi pelabur asing,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kongres Ekonomi Melayu akan dianjurkan seiring dengan tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Artikel Berkaitan:

Kongres tersebut akan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping memperkasa golongan tersebut.