RISDA sediakan bantuan usahawan dan agromakanan, galak tanam getah

Usahawan bimbingan RISDA, Mohd Khairuddin Abdul Karim dipilih sebagai Ikon Usahawan RISDA Perak 2023.
Usahawan bimbingan RISDA, Mohd Khairuddin Abdul Karim dipilih sebagai Ikon Usahawan RISDA Perak 2023.
A
A
A

GERIK - Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) memperuntukkan RM666.9 juta bagi melaksanakan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara tahun ini.

Peruntukan itu meliputi program yang lebih komprehensif dengan tambahan inisiatif keusahawanan dan agromakanan bagi menggalakkan usaha penanaman.

Di bawah program itu, RISDA menawarkan nilai yang amat signifikan bagi setiap hektar iaitu sebanyak RM13,710 di semenanjung, RM14,805 di Sarawak dan RM14,955 di Sabah.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, gerakan Kempen Tanam Semula atau dikenali dengan (TS ) itu usaha terbaik bagi memastikan agenda pembangunan penanaman getah dapat terus dirancakkan.

Menurut beliau, isitimewanya program RISDA itu tidak hanya tertumpu kepada warga pekebun kecil getah sahaja, tetapi terbuka kepada seluruh masyarakat yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil RISDA.

"Melalui kempen ini, mereka yang berminat akan menerima pelbagai program bantuan ditawarkan dengan nilai sehingga RM38,800.

"Di Perak sahaja, RISDA negeri tahun ini telah melaksanakan program tanam semula getah dengan nilai RM4.68 juta melibatkan kawasan seluas 671.23 hektar," katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS ) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Noraini Ahmad (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu.
Noraini Ahmad (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu.

Program TS ini menyokong pendekatan secara individu dan berkelompok dengan menyediakan ansuran pembayaran bantuan selama lima kali ansuran atau sehingga pokok getah boleh ditoreh.

Pekebun kecil sama ada dalam kategori mempunyai pokok getah tua dan tidak produktif atau individu mempunyai tanah terbiar dengan keluasan serendah 0.1 hektar layak memohon bantuan ini yang merangkumi kos pembangunan, penyelenggaraan ladang, penyediaan benih dan baja.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam memastikan pembangunan penanaman getah berterusan, RISDA turut menyediakan bantuan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dalam skim belia, start-up dan nano.

Tambahnya, skim yang tersedia itu melibatkan bantuan keseluruhan berjumlah RM45 juta melalui pembiayaan untuk memulakan perniagaan, penternakan dan bantuan khusus mengikut keperluan kategori dengan nilai bantuan sehingga RM20,000.

"Pakej bantuan ini juga adalah untuk memastikan sasaran pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif sebanyak RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2025 dapat dicapai sebaik mungkin.

"Tahun ini, sebanyak RM 3.87 juta telah dibelanjakan RISDA Perak dalam memastikan seramai 507 usahawan bimbingan menerima manfaat," katanya.

Karnival Usahawan RISDA Negeri Perak diadakan pada 16 hingga 17 Disember bertujuan menyediakan platform perniagaan, memberi penerangan dan pendedahan kepada orang awam berkenaan inisiatif RISDA melalui industri getah.

Seramai 23 usahawan Perak bimbingan RISDA terlibat dalam menyediakan gerai jualan daripada pelbagai jenis perniagaan antaranya makanan, kraftangan dan perkhidmatan.

Turut disampaikan Anugerah Usahawan Jaya RISDA dan Anugerah Ikon Usahawan RISDA Perak 2023 serta Anugerah Pekebun Kecil Sempena 50 Tahun Jubli Emas RISDA.