Program Banci Pekebun Kecil Getah 2023 (BPKG 2023)

RISDA yakin capai sasaran 600,000 responden

A
A
A

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran BPKG 2023 yang telah bermula pada 1 Julai dan berakhir pada 31 Disember 2023 bagi membantu RISDA dalam merancang program dan strategi untuk meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekebun kecil di seluruh Malaysia.
Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran BPKG 2023 yang telah bermula pada 1 Julai dan berakhir pada 31 Disember 2023 bagi membantu RISDA dalam merancang program dan strategi untuk meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekebun kecil di seluruh Malaysia.

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin akan mencapai sasaran bancian ke atas 600,000 pekebun kecil getah menerusi Program Banci Pekebun Kecil Getah 2023 (BPKG 2023)

Keyakinan itu dinyatakan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mana beliau turut memaklumkan bahawa responden yang terlibat dalam BPKG itu juga melibatkan isi rumah di bawah seliaan RISDA serta agensi-agensi yang berkaitan.

Katanya, bancian di bawah BPKG 2023 itu mengambil masa selama enam bulan bermula 1 Julai lalu dan akan berakhir pada 31 Disember ini.

"Matlamat utama BPKG 2023 ini adalah untuk memperkasakan data pekebun kecil getah di seluruh negara bagi tujuan pembangunan komuniti ini secara lebih holistik dan sistematik,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA Bulan Ogos Tahun 2023 di Ibu Pejabat RISDA di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RISDA, Haniza Ab Shukor dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Perancangan Strategik RISDA, Kamarudin Ani.

Tambah Noraini, ketika ini RISDA bergantung kepada data bancian tahun 2013 melibatkan bilangan 552,543 orang pekebun kecil di seluruh negara meliputi kawasan keseluruhan penanaman getah seluas 1.019 juta hektar.

Artikel Berkaitan:

NORAINI
NORAINI

Mengulas lanjut mengenai BPKG 2023, program bancian tersebut merupakan kali kelima dilaksanakan oleh RISDA sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Sebelum ini, RISDA melaksanakan program bancian ke atas pekebun kecil pada tahun 1977, 1992, 2002 dan kali terakhir ialah pada 2013.

Katanya, RISDA melaksanakan program bancian dalam tempoh setiap 10 tahun bagi memastikan data-data pekebun kecil dapat dikemas kini secara berkala.

"Ini menunjukkan RISDA sentiasa komited dalam memastikan kelestarian industri serta komuniti pekebun kecil getah dalam fasa 50 tahun akan datang.

"Seramai hampir 600 orang pegawai pembanci terdiri dalam kalangan pegawai lapangan RISDA terlibat melaksanakan program BPKG 2023 ini," jelasnya.

Pengumpulan maklumat

Dalam pada itu, Noraini memberitahu bahawa maklumat yang dikumpul dalam bancian BPKG 2023 meliputi maklumat peribadi pekebun kecil, bilangan isi rumah, maklumat pemilikan tanah serta maklumat sosioekonomi pekebun kecil.

Dari segi pengumpulan data katanya, ia akan melibatkan kaedah temuduga bersemuka menggunakan tablet, telefon bimbit (Computer-Assisted Telephone Interviewing) dan komputer (Computer-Assisted Personal Interviewing) termasuk melalui aplikasi atas talian, RISDA e-banci.

Maklumat-maklumat yang diperoleh dalam bancian itu jelas beliau, akan dianalisa untuk penyediaan statistik terkini yang akan membantu perancangan serta pelaksanaan program pembangunan golongan itu pada masa depan.

“Program pembangunan ini akan meliputi keusahawanan, peningkatan produktiviti getah, BMT (Bantuan Musim Tengkujuh) dan lain-lain program yang memberi manfaat besar kepada golongan ini.

“Malah, maklumat dan data daripada bancian BPKG 2023 ini boleh menjadi penanda aras baharu kepada usaha pemerkasaan sektor pekebun kecil,” ujarnya yang turut menegaskan pelaksanaan BPKG itu mengambil kira keselamatan dan perlindungan data peribadi para pekebun kecil getah.

Untuk maklumat lanjut mengenai BPKG 2023, para pekebun kecil dan orang ramai boleh melayari laman sesawang, https://www.bancirisda.my atau menerusi email, banci2023.helpdesk@risda.gov.my.