Replika 'mayat' iringi himpunan bangkit tolak kuasa veto AS

Antara peserta yang membawa replika mayat bagi membantah tindakan AS dan kekejaman Israel. (Gambar kecil: Syed Sheikh, Ahmad)
Antara peserta yang membawa replika mayat bagi membantah tindakan AS dan kekejaman Israel. (Gambar kecil: Syed Sheikh, Ahmad)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peserta Himpunan Malaysia Bangkit Tolak Veto Amerika di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa replika 'mayat' sebagai sombolik ke atas kekejaman zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

Himpunan bermula jam 2 petang itu berlangsung di Jalan Tun Razak pada Jumaat, di mana kira-kira lapan peserta terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dilihat membawa replika mayat selain memegang bendera Palestin.

Kalangan peserta dan penganjur turut melaungkan 'Jahanam Amerika', Hancur Israel' selain bertakbir.

Himpunan itu mula berarak dari Masjid Tabung Haji sebelum berhenti berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Hujan lebat ketika himpunan tidak menghalang peserta daripada berganjak untuk terus menunjukkan bantahan, penolakan terhadap tindakan AS menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata segera di Palestin, baru-baru ini.

Kumpulan peserta yang hadir tidak berganjak biar pun hujan lebat sepanjang himpunan berlangsung di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kumpulan peserta yang hadir tidak berganjak biar pun hujan lebat sepanjang himpunan berlangsung di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Himpunan anjuran Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) itu turut menggabungkan kira-kira 20 NGO tempatan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat, Syed Sheikh Syed Mustafa berkata, sehingga kini lebih 19,000 nyawa terkorban akibat pengeboman Israel di bumi Gaza dan di Tebing Barat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahukan satu gencatan senjata iaitu kata putus daripada PBB untuk menghentikan serangan yang tidak berperikemanusiaan dengan mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam tidak berdosa.

"Kita meminta kepada seluruh negara Islam, negara Arab dan negara-negara di dunia yang membela Palestin untuk bertindak lebih keras terhadap Israel dan AS dengan menekan mereka supaya mengadakan gencatan senjata di Gaza," katanya kepada pemberita selepas himpunan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR), Datuk Seri Ahmad Awang berkata, apa yang berlaku hari ini seolah-olah segala perbadanan dunia antarabangsa seperti sudah tidak berguna lagi.

Menurutnya, jika PBB tidak lagi dihormati oleh AS, maka bubarkanlah.

"Ini kerana Israel memang tidak mematuhi keputusan PBB.

"Kita harapkan pihak NGO sentiasa lakukan desakan seumpamanya untuk menonjolkan kepada dunia bahawa kita di Malaysia, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menolak kekejaman dilakukan Israel," ujarnya.

Antara peserta yang membawa replika mayat bagi membantah tindakan AS dan kekejaman Israel.
Antara peserta yang membawa replika mayat bagi membantah tindakan AS dan kekejaman Israel.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan AS menggunakan kuasa veto menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Palestin.

Tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik tersebut yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin dengan kira-kira 70 peratus melibatkan kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 48,000 yang lain cedera.

AS satu-satunya negara yang mengundi untuk menentang resolusi itu yang turut menyaksikan Rusia dan United Kingdom mengambil pendirian untuk berkecuali.

Sebanyak 12 negara lain iaitu China, Perancis, Jepun, Switzerland, Emeriah Arab Bersatu, Albabia, Brazil, Ecuador, Gabon, Ghana, Malta dan Mozambique menyokong.

Undian berkenaan dilakukan selepas Setiausaha Agung PBB, António Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB sesuatu yang tidak pernah beliau lakukan berikutan keadaan Gaza yang amat genting.