Pemandu lori tak mengaku rompak beg milik lelaki Filipina

Mugilan (dua dari kanan) diiringi polis ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat.
Mugilan (dua dari kanan) diiringi polis ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini pada Jumaat atas pertuduhan merompak beg milik seorang lelaki warga Filipina dalam kejadian November lepas.

Tertuduh B Mugilan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Mugilan didakwa merompak beg milik warga Filipina di Lengkok,Taman Perindustrian IKS Simpang Empat, Nibong Tebal pada jam 8.45 malam, 29 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak membenarkan sebarang ikat jamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang berpendapatan RM1,500 sebulan merayu supaya dibenarkan diikat jamin dengan alasan perlu menyara ibunya yang berusia lingkungan 60-an.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan di mana tertuduh tidak dibenarkan berhubung atau mendekati mangsa serta saksi pendakwaan dengan apa jua cara sehingga kes selesai dibicarakan.

Kes akan disebut semula pada 15 Januari depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.