Penganggur didenda RM2,800 halang tugas polis

Mengikut pertuduhan, Mohammad Dzahir didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis berpangkat Sarjan dalam menjalankan tugas awamnya di kawasan jalan perkilangan Bakar Arang di sini pada 1.30 pagi, 9 Disember lalu.

Mohammad Dzahir (dua dari kiri) dibawa ke ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis untuk didakwa menghalang tugas polis pada 9 Disember lalu.
Mohammad Dzahir (dua dari kiri) dibawa ke ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis untuk didakwa menghalang tugas polis pada 9 Disember lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani di sini didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah menghalang tugas polis pada 9 Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Dzahir Abdullah, 25, dijatuhkan hukuman terbabit oleh Majistret M Kalaiarasi selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Dzahir didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis berpangkat Sarjan dalam menjalankan tugas awamnya di kawasan jalan perkilangan Bakar Arang di sini pada jam 1.30 pagi 9 Disember lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kereta Proton Wira membuat pusingan U melarikan diri ketika penjawat awam itu menjalankan tugas 'snap check' di jalan berkenaan.

Penjawat awam terbabit mengarahkan tertuduh berhenti dengan menggunakan pembesar suara tetapi tidak diendahkan sebelum polis terpaksa mengejar kereta tertuduh sehingga ke jambatan Pulau Pinang.

Kereta yang dipandunya telah tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di tengah jambatan itu dan tayar keretanya pecah selepas bergesel dengan kenderaan lain.

Semasa tangkapan mahu dibuat, tertuduh telah melarikan diri dan terjun ke bawah jambatan sebelum diselamatkan nelayan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Bagaimanapun, bagi kes dadah terbabit, mahkamah menetapkan 14 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeya manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Firzana Ahmad Suhaimi.