'Bukan saya yang berikan markah...' - Jaclyn Victor

Jaclyn merancang untuk menghadiahkan wang kemenangan itu kepada dua permata hatinya seperti tahun lalu. - Foto Astro
Jaclyn merancang untuk menghadiahkan wang kemenangan itu kepada dua permata hatinya seperti tahun lalu. - Foto Astro
A
A
A

KEMENANGAN penyanyi Jaclyn Victor menerusi program All Stars Gegar Vaganza pada Ahad menimbulkan pertikaian ramai netizen melalui media sosial.

Rata-rata mempunyai pilihan juara mereka sendiri dan merasakan ada penyanyi yang lebih layak untuk menjadi pemenang unggul dalam persaingan antara juara Gegar Vaganza musim terdahulu dan dua peserta di kalangan pemenang tempat kedua serta keempat.

Tidak melatah biarpun kemenangannya dipertikaikan, Jaclyn, 45, berkata, bukan dia yang memberi markah, sebaliknya persembahan peserta dinilai oleh juri profesional terdiri daripada Maestro Muzik, Datuk Ramli MS selaku Ketua Juri bersama, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Ella.

"Harap peminat boleh bertenang, bukan saya yang berikan markah...

"Jujur saya cakap, ketika saya berdiri di atas pentas, saya cuma berserah.

"Saya tak fikirkan pasal kejuaraan kerana saya tidak mahu letak tekanan pada diri saya kerana kalau saya tertekan, orang boleh nampak daripada reaksi wajah saya.

"Jadi saya cuma nak buat yang terbaik dan dah fikir, siapa sahaja yang menang saya akan tumpang gembira," katanya ketika ditemui sebaik berakhirnya program All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung penuh gah di Axiata Arena dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Pada konsert akhir itu, Jaclyn tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu When You Believe nyanyian asal Whitney Houston dan Mariah Carey, manakala duet bersama Datuk Jamal Abdillah (Sandarkan Pada Kenangan) dinobatkan sebagai juara dan sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Jaclyn hanya mahu melakukan yang terbaik saat memulakan persembahan tanpa memikirkan kejuaraan.
Jaclyn hanya mahu melakukan yang terbaik saat memulakan persembahan tanpa memikirkan kejuaraan.

Penyanyi berusia 45 tahun itu turut membawa pulang hadiah iringan berupa pakej percutian ke Switzerland, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London, baucer dekorasi ruangan dan trofi.

Pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu turut menerima hadiah Bintang Paling Power Meow berupa wang tunai RM3,000 dan Produk Adabi bernilai RM500.

Tujuh finalis lain iaitu Liza Hanim, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Azharina, Tomok dan Naqiu menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian dan trofi.

Dalam pada itu, ditanya perancangan dengan wang kemenangannya, Jaclyn berkata, sama seperti tahun lalu ketika menjuarai Gegar Vaganza musim kesembilan, dia akan memasukkan wang tersebut ke akaun bank dua cahaya matanya iaitu Jonah Joshiah Rivera, 8, dan Molly Marguerite Rivera, 6 tahun.

Ujar Jaclyn atau lebih mesra dengan panggilan Jac, setiap kali perlu bekerja, dia sering mengingatkan anak-anak bahawa apa yang dilakukan adalah untuk dua permata hatinya itu.

"Saya tidak tahu berapa lama boleh bersama mereka, jadi saya sentiasa simpan wang untuk kegunaan mereka pada masa hadapan.

"Macam tahun lalu, saya memang tak sentuh langsung (wang kemenangan RM100,000) dan masukkan ke akaun bank mereka.

"Jadi kali ini saya akan buat perkara yang sama," katanya.