Filem Confessions of a Shaman: Manusia lebih menakutkan daripada hantu

Filem seram Thailand, Confessions of a Shaman mengangkat tema dendam, pengkhianatan dan ilmu hitam.
Filem seram Thailand, Confessions of a Shaman mengangkat tema dendam, pengkhianatan dan ilmu hitam.
A
A
A

DENDAM, pengkhianatan dan ilmu hitam menjadi tunjang penceritaan filem seram Thailand, Confessions of a Shaman, yang mengetengahkan sisi gelap manusia sehingga membawa mesej bahawa manusia sebenarnya lebih menakutkan daripada makhluk ghaib.

Pengarahnya, Nathanon Cholumpi berkata, filem berdurasi 126 minit itu bukan sekadar kisah pertarungan manusia dengan hantu, sebaliknya menyelami bagaimana penderitaan dan ketidakadilan mampu mengubah seseorang sehingga sanggup memilih jalan dendam.

Menurutnya, elemen seram dalam karya berkenaan dibina melalui konflik kemanusiaan, khususnya tindakan individu yang sanggup menyakiti orang lain sehingga mendorong mangsa mencari pembalasan.

“Pada saya, hantu dalam filem ini bukan watak jahat kerana kebanyakannya juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan. Perkara yang benar-benar menakutkan ialah manusia yang sanggup menyakiti orang lain serta dendam yang mampu mengubah seseorang sepenuhnya,” katanya.

Naratif filem itu berpusat pada Tor lakonan Alek Teeradetch Metavarayuth, seorang sami muda yang kehidupannya musnah selepas berdepan pelbagai tragedi, termasuk kematian ibunya serta menjadi mangsa kekejaman seorang individu berpengaruh.

Gagal mendapatkan pembelaan melalui saluran undang-undang, Tor akhirnya meninggalkan kehidupan sebagai sami sebelum berguru dengan Mor Tian, seorang bomoh berpengaruh lakonan Shahkrit Yamnarm.

Langkah itu membawa Tor menyelami dunia ilmu hitam dan amalan membangkitkan hong phrai, iaitu roh pendamping yang digunakan untuk membalas dendam terhadap individu yang pernah menzaliminya.

Namun, semakin jauh dia mendalami ilmu berkenaan, semakin besar harga yang perlu dibayar apabila rahsia di sebalik amalan itu mula terbongkar.

Nathanon berkata, pihak produksi berusaha mengekalkan inti pati cerita asal yang diadaptasi daripada kisah popular The Ghost Radio, selain memperincikan latar belakang dan perkembangan setiap watak bagi membantu penonton memahami sebab di sebalik tindakan mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyifatkan karya berkenaan sebagai filem seram psikologi yang menggabungkan elemen supernatural dengan konflik manusia dalam latar yang dekat dengan realiti.

Dari sudut pembikinan, Nathanon memberi penekanan kepada penggunaan kesan praktikal dan kesan khas bagi memastikan penampilan makhluk ghaib kelihatan lebih nyata, manakala teknologi imejan janaan komputer (CG) digunakan apabila diperlukan.

Bagi Alek, watak Tor antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya lakonannya kerana perlu menggambarkan perubahan emosi seorang lelaki biasa yang semakin tenggelam dalam dunia ilmu hitam.

Katanya, Tor pada asalnya tidak mengimpikan kekayaan atau kuasa, sebaliknya hanya mahukan kehidupan stabil, kasih sayang dan penerimaan masyarakat.

Bagaimanapun, pengalaman kehilangan, penghinaan dan ketidakadilan yang dilalui akhirnya mendorongnya membuat pilihan yang mengubah seluruh kehidupannya.

Alek turut menyifatkan babak bersama ibunya sebagai antara adegan paling mencabar kerana hubungan itu menjadi satu-satunya tempat Tor bergantung harapan.

Selain Alek dan Shahkrit, filem berkenaan turut menampilkan Denise Jelilcha Kapaun sebagai Mali, Am Amarin Nitibhon dan Boom Ranya Siyanont, selain kemunculan khas BamBam daripada kumpulan K-pop GOT7.

Diadaptasi daripada kisah seram popular yang mencatatkan lebih lapan juta tontonan menerusi The Ghost Radio, Confessions of a Shaman bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 November ini.

Menerusi naskhah berkenaan, penonton bukan sahaja dibawa menyelami dunia ilmu hitam dan makhluk ghaib, malah diajak menilai sejauh mana dendam mampu mengubah manusia serta harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih jalan kegelapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!