Jason Mraz kembali dengan muzik, humor dan pesona tersendiri

Jason Mraz
Jason Mraz
A
A
A

SELEPAS tujuh tahun tidak beraksi di Malaysia, kemunculan semula penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat Jason Mraz pada malam Sabtu lalu ternyata menjadi detik yang dinanti-nantikan peminatnya.

Biarpun hujan turun sebelum konsert bermula dan trafik sesak di sekitar Bukit Jalil berikutan beberapa acara yang berlangsung serentak, keadaan itu tidak menghalang lebih 8,000 peminat hadir di Stadium Hoki Nasional bagi menyaksikan konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur.

Menariknya, penonton yang hadir bukan sahaja terdiri daripada golongan milenial yang membesar dengan lagu-lagu popularnya, malah generasi Z turut sama memenuhi ruang konsert, membuktikan muzik Mraz terus mendapat tempat dalam kalangan peminat pelbagai generasi.

Tampil dengan gaya kasual berkemeja, bertopi dan gitar di tangan, penyanyi berusia 49 tahun itu membuka persembahan dengan lagu You and I Both, sekali gus menghangatkan suasana dengan vokal bersahaja yang menjadi identitinya.

Dikenali menerusi muzik pop akustik yang disulami elemen folk, rege dan R&B, Mraz terus memikat penonton dengan persembahan santai, selain tidak kekok berinteraksi menggunakan bahasa Melayu sepanjang konsert.

Ungkapan "Apa khabar?" dan "Terima kasih" yang beberapa kali dilontarkannya mengundang sorakan peminat, sekali gus memperlihatkan kemesraan penyanyi itu dalam menghargai penonton tempatan.

"Sungguh seronok dapat kembali ke KL. Saya rindukan kalian semua. Terima kasih kerana sudi datang bersama-sama dengan rakan dan keluarga kalian. Saya harap kalian terhibur dengan persembahan malam ini," katanya, yang kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia pada 2019.

Selain lagu-lagu popular, kehadiran Mraz turut diserikan dengan celoteh spontan yang mencuit hati, terutama apabila beliau berseloroh mengenai perubahan dirinya yang sebelumnya gemar menari, namun kini memilih untuk lebih santai dan tenang.

Dengan usianya yang menghampiri 50 tahun, penyanyi itu mengakui berasa lebih senang untuk duduk semasa mengadakan persembahan, daripada menghabiskan tenaga menari sepertimana zaman mudanya.

Artikel Berkaitan:

"11 years ago, when we were a little younger, and we felt like dancing. But now I feel like sitting down because why dance when you can sit down? In fact, why sit down when you can lay down?" selorohnya, mengundang gelak tawa penonton.

Namun, faktor usia ternyata tidak menjejaskan keupayaannya menghiburkan peminat apabila beliau terus menyampaikan rangkaian lagu yang membawa penonton mengimbau perjalanan seninya, termasuk 93 Million Miles, Have It All, A Beautiful Mess, 3 Things dan Make It Mine.

Pemenang dua Anugerah Grammy itu kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Unfold, The Remedy (I Won't Worry) dan Love Someone, yang disambut dengan sorakan serta nyanyian penonton.

Satu lagi tarikan malam itu ialah kemunculan Raining Jane, kumpulan yang sekian lama menjadi rakan kolaborasi Mraz, sekali gus menambah kemeriahan persembahan dan membawa sentuhan istimewa kepada peminat.

Selepas hampir dua jam menghiburkan penonton, Mraz akhirnya melabuhkan tirai persembahan dengan meninggalkan satu pesanan yang pastinya dinanti-nantikan peminatnya.

"See you very soon, jumpa lagi," katanya.

Ungkapan "jumpa lagi" itu mungkin sekadar ucapan perpisahan, namun cukup untuk menyuntik harapan dalam kalangan peminat agar penyanyi itu tidak mengambil masa terlalu lama untuk kembali ke Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!