10 juara bersaing di All Stars Gegar Vaganza

Astro mengumumkan kesemua sembilan juara musim terdahulu akan bersaing di All Stars Gegar Vaganza. - Foto Astro
Astro mengumumkan kesemua sembilan juara musim terdahulu akan bersaing di All Stars Gegar Vaganza. - Foto Astro
A
A
A
TEKA-TEKI siapakah peserta yang bakal bersaing di program Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) terjawab apabila Astro mengumumkan kesemua sembilan juara musim terdahulu akan bersaing di All Stars Gegar Vaganza.

Mereka ialah Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

Bagi menambah elemen kejutan lima penyanyi dari musim-musim lalu bakal dipilih menerusi undian para peminat bermula 29 Ogos 2023 di laman sesawang www.astrogempak.com/gegarvaganza. Undian akan ditutup pada 10 September 2023, 11.59 malam.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Astro amat berbangga kerana membawa kesemua juara kembali serta memberikan para peminat peluang untuk mengundi peserta-peserta terdahulu untuk bertanding sekali lagi bersama barisan juara.

“Siapakah yang terbaik antara yang terbaik? Itulah persoalan yang amat mengujakan ramai peminat industri muzik tanah air. Bayangkan betapa gahnya apabila kesemua juara serta pilihan peminat dihimpunkan sekali untuk merebut takhta juara All Stars Gegar Vaganza.



“Inilah pertempuran realiti nyanyian yang tiada bandingan. Hampir kesemua mereka sudah merasai kejuaraan Gegar Vaganza dan mereka kembali malah mengetahui bahawa pertandingan kali ini tidak mudah, dipenuhi dengan cabaran sengit,” katanya menerusi sidang media pengumuman barisan peserta All Stars Gegar Vaganza di Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Raqim, Gegar Vaganza kali ini akan menjadi musim terpanjang pernah diterbitkan kerana bakal bersiaran untuk 12 minggu.

“Istimewanya pada konsert final nanti kita akan lakukan di Axiata Arena Bukit Jalil bagi meraikan musim kesepuluh dan memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka secara langsung,” ujarnya.

Barisan juri masih diketuai Datuk Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi ikonik Indonesia, Hetty Koes Endang.

All Stars Gegar Vaganza masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, 000.
Artikel Berkaitan: