Rentak Budaya santuni 20 artis veteran

Barisan artis veteran yang diraikan pada Program Sumbangan SENIMAN sempena Rentak Budaya di Kuala Lumpur.
Barisan artis veteran yang diraikan pada Program Sumbangan SENIMAN sempena Rentak Budaya di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 20 artis veteran menerima sumbangan wang tunai menerusi Program Sumbangan SENIMAN pada hari terakhir Rentak Budaya sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam industri seni tanah air.

Program anjuran Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) itu menyaksikan sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac bersama Presiden SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Antara artis veteran yang menerima sumbangan ialah Abon, Zaiton Sameon, Ebby Saiful, Yank Kassim, Shahriza Mahmud, Rahim Kidol dan Norly Tamam, selain beberapa lagi penggiat seni yang diraikan dalam program berkenaan.

Menurut Zed Zaidi, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha SENIMAN untuk terus mendekati serta menghargai penggiat seni, khususnya golongan veteran yang banyak mencurahkan bakti kepada perkembangan industri seni negara.

“Rentak Budaya bukan sekadar platform untuk mengetengahkan seni, budaya dan hiburan kepada masyarakat. Kami mahu acara ini turut membawa nilai kebersamaan, keprihatinan dan penghargaan kepada warga seni.

“Artis-artis veteran merupakan antara individu yang telah membina dan mewarnai industri seni tanah air sejak sekian lama. Sumbangan ini mungkin sederhana, tetapi yang lebih penting ialah mesej bahawa jasa dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai dan tidak dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Hans berkata, selain sumbangan wang tunai kepada artis veteran, FINAS turut meneruskan pelaksanaan program Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR) di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKD).

Menurutnya, program tersebut bertujuan membantu artis veteran berusia 55 tahun ke atas mendapatkan peluang berlakon menerusi watak utama atau pembantu utama dalam penerbitan supertelefilem.

“Antara kriteria utama Dana STAR ialah 60 peratus tenaga kerja dalam setiap penerbitan terdiri daripada artis dan kru veteran, manakala baki 40 peratus diwakili tenaga kerja muda atau umum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Program sumbangan itu turut memperlihatkan kerjasama antara badan industri dan persatuan penggiat seni dalam memberi perhatian terhadap kebajikan serta kesejahteraan warga seni, khususnya mereka yang telah lama berada dalam industri.

Pada hari terakhir Rentak Budaya, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan elemen seni, budaya dan seni mempertahankan diri.

Antara tarikan ialah persembahan Muay Thai, Silat Harimau Rimba dan Gendang 24 Musim yang memperlihatkan kepelbagaian seni serta budaya dalam acara terbuka kepada masyarakat pelbagai lapisan usia itu.

Suasana di Padang Merbok turut dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Kristal X yang menghiburkan pengunjung menerusi lebih sembilan lagu rock bertenaga, sekali gus melengkapkan kemeriahan hari terakhir Rentak Budaya.

Berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026, Rentak Budaya menjadi platform menghimpunkan penggiat seni, penggiat budaya, komuniti serta masyarakat menerusi pelbagai aktiviti dan persembahan.

Penganjuran di Padang Merbok dan River of Life Kuala Lumpur itu turut membuka ruang kepada generasi muda untuk mendekati kepelbagaian seni serta warisan negara.

Dengan kerjasama rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Rentak Budaya diharap dapat terus memperkukuh hubungan masyarakat dengan penggiat seni serta budaya tempatan, selain memastikan jasa warga seni terdahulu terus dikenang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!