'Orang tak cantik, hidung tak mancung memang tak boleh berjaya ke? - Liza Hanim

Antara komen yang ditinggalkan oleh sebuah pengendali Instagram sehingga menggores hati penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.
Antara komen yang ditinggalkan oleh sebuah pengendali Instagram sehingga menggores hati penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.
A
A
A

"LIZA Hanim sangat berbakat, bersuara sedap dan mantap, tetapi kekurangannya adalah tak berupa cantik dari segi hidung sedikit kembang serta kulit wajah ada lubang-lubang sejak zaman anak dara. Jadi, faktor tersebut buatkan beliau sedikit terbelakang zaman itu."

Itu antara komen yang ditinggalkan oleh sebuah pengendali Instagram sehingga menggores hati penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.

Penyanyi berusia 42 tahun itu turut mempertikaikan adakah rupa paras menjadi jaminan buat seseorang itu untuk berjaya di Malaysia?

"Bukan sentap, tetapi saya perlu bercakap mengenai perkara ini. Kenapa orang tak cantik memang tidak boleh menang apa-apa ke di Malaysia atau antarabangsa? Orang yang tak putih, hidung tak mancung memang tak boleh ke berjaya di Malaysia ini?

"Ya, betul. Saya sedar dan sangat bersyukur apa yang ALLAH SWT telah kurniakan pada saya. Asalkan saya gembira dengan keluarga, saya tak kisah semua cantik buruk. ALLAH kurniakan bakat untuk saya boleh menyanyi tetapi saya tak ada rupa paras yang mana semua mahukan, tetapi saya tetap bersyukur," luah penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Tambah pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, tergamak pengendali akaun Instagram tersebut meninggalkan komen sama berkali-kali dan turut menandakan namanya sekali.

"Kadang kala, bahasa kata itu lagi penting dari rupa paras. Saya tak goyang dengan cacian, kutukan, kritikan sesiapa tetapi budaya sekarang agak melampau. Saya tertanya juga rupa orang yang menulis macam mana agaknya?

"Ini tahun ke-26 saya dalam industri, sudah pelbagai yang saya lalui dan hadapi. Jadi kutukan halus ini tidak goyangkan saya tetapi saya sedih, awak tidak bertimbang rasa dan tidak peka," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lima cahaya mata itu berharap hantaran yang dibuat ini akan menjadi pemangkin buat mereka yang pernah mendapat kutukan untuk terus bangkit dan kuat.

"Hantaran ini untuk semua yang pernah kena kutukan macam saya untuk kita bangkit, terus kuat dan buat apa sahaja yang menggembirakan kita serta keluarga. Teruslah bersyukur kepada ALLAH SWT atas kurniannya," katanya.

Terdahulu, Liza antara enam penyanyi yang mara menerusi 'hot seat' ke All Stars Gegar Vaganza untuk bersaing bersama 10 juara daripada sembilan musim terdahulu Gegar Vaganza.