PKP ESS Zone hanya libatkan kawasan perairan, bukan daratan - ESSCOM

Victor Sanjos - Foto: Bernama
Victor Sanjos - Foto: Bernama
A
A
A

SEMPORNA - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), yang dijenamakan semula daripada Perintah Berkurung sebelum ini, hanya melibatkan perairan dan bukan kawasan daratan.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, perkara itu perlu dijelaskan susulan kegusaran yang timbul terutama dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing yang keliru kerana PKP tersebut telah disalah tafsir sebagai turut berkuat kuasa di kawasan daratan.

"Saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP ESS Zone ini yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Ia (berkuat kuasa) di kawasan perairan yang melebihi jarak tiga batu nautika ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa daripada jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, membantu ESSCOM dan PDRM membetulkan kekeliruan yang timbul agar sektor pelaburan asing serta industri pelancongan di ESS Zone dapat ditingkatkan lagi sekali gus mensejahterakan ekonomi masyarakat di kawasan itu.

Ketua Polis Negara dalam kenyataan pada Oktober lepas memaklumkan Perintah Berkurung Sabah tamat pada 6 petang 17 Okt dan dilanjutkan sebagai PKP ESS Zone Sabah oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Perintah Berkurung di ESS Zone, yang diisytiharkan mulai 19 Julai 2014 dan tamat pada siri ke-220 pada 17 Oktober lepas, merupakan mekanisme pemantauan serta kawalan pasukan keselamatan iaitu PDRM, APMM dan ATM terhadap pergerakan bot atau kapal yang digunakan oleh penduduk setempat, pelaut, pelancong serta komuniti maritim di perairan Sabah yang berlandaskan kepada Akta Polis 1967.

Mengulas mengenai PKP ESS Zone, Victor berkata, ia dilihat semakin memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi operasi keselamatan yang dilaksana selain membantu usaha mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat pelancongan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan ESSCOM bersama PDRM, ATM dan APMM di ESS Zone dalam mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Jan 2020.

"Sejak tahun 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes penculikan berlaku di ESS Zone namun trend tersebut mulai berubah apabila ESSCOM mula mengkoordinasikan Operasi SANGGAH dan pelbagai operasi khas bersama pasukan keselamatan di ESS Zone khasnya.

"Hasil usaha yang berterusan itu, kita berjaya menumpaskan sel-sel kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan dengan 17 orang telah ditembak mati manakala 23 lagi ditangkap," katanya sambil menambah 16 kes cubaan menculik berjaya dipatahkan sejak 10 tahun lepas.

Victor berkata, keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone turut kekal terjamin melalui operasi secara bersepadu yang dilaksana dari semasa ke semasa tahun ini.

Beliau berkata setakat 23 November lepas, ESSCOM berjaya mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot dengan 512 orang ditahan manakala 150 kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, katanya, sebanyak 215 pendatang telah diusir yang melibatkan 88 kapal atau bot dari sempadan negara.

Bagi kes penyeludupan, Victor berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh sama juga melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok serta barang kawalan RM14.3 juta.

"Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik pendatang masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta,” katanya. - Bernama